Buat berita tak selidik, portal atas talian dikecam sebar benda palsu

Oleh KIM SYAZIE

Satu laman berita atas talian yang popular di Malaysia berdepan dengan kritikan hebat kerana telah menyebarkan berita palsu semalam.

Menurut ciapan pengguna laman sosial Twitter bernama Syed Akramin, portal itu telah menyebarkan satu video dengan kapsyen ‘Anak dipukul di sekolah, bapa berang datang sekolah dengan batang kayu.

Walhal, kejadian tersebut merupakan satu latihan demonstrasi keselamatan yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan Taman Warisan Puteri di Negeri Sembilan.

Berdasarkan satu postingan di Laman Facebook sekolah itu, latihan tersebut diadakan sebagai persediaan kepada pelajar dan guru bagi menghadapi kejadian amukan di sekolah.

Dengan tidak bertanggungjawab, portal berita itu telah mencipta satu situasi kononnya seorang bapa telah datang membuat kekecohan dan mengamuk di sekolah.

Kesannya, lelaki di dalam video terbabit tidak semena-mena dimaki oleh pembaca berita portal atas lakonannya sebagai bapa itu.

Hal yang demikian telah membangkitkan rasa marah rakyat negara ini kerana portal yang menjadi wadah penyebaran maklumat itu tidak sepatutnya menerbitkan berita secara semberono.

Hal ini kerana penulisan berita dapat memberi kesan yang mendalam dalam diri pembaca khususnya dari segi emosi.

“Tak guna punya OHBULAN! Sebar fitnah pada sekolah yang buat latihan demonstrasi keselamatan.

“Habis lelaki yang terlibat dalam demo tersebut dimaki hamun netizen. Dengan ‘anak’ lelaki itu pun kena maki juga,” ciap Syed Akramin.

Rata-rata pengguna media sosial kecewa dengan tindakan portal tersebut dan menuntut agar platform media tersebut disaman oleh mereka yang berkaitan.

Dalam menyebarkan berita, penulis seharusnya sedar akan akibat yang bakal ditanggung sekiranya mereka menyampaikan berita palsu.

Tak pasti, jangan kongsi.

Baca juga: Jiran dari neraka simbah air kencing di tingkap rumah, pasangan mulanya sangka diganggu jin