Malaysia Dateline

‘Buat-buat bodoh’ sama seperti cadangan menteri guna suara Doraemon

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi menjadi antara pemimpin wanita yang mengkritik ucapan seorang bekas Profesor yang mengatakan bahawa wanita perlu menjadi sedikit ‘bodoh’ untuk mendapatkan jodoh.

Beliau berkata, standard ‘buat-buat bodoh’ sebenarnya sama seperti isu menteri wanita yang pernah menyarankan suri rumah menggunakan suara Doraemon apabila bercakap dengan suami.

Katanya, hanya aktivis di lapangan yang memahami apakah kesan ‘kesemberonoan’ dua ucapan seperti itu.

“Kita perlu satu standard pemakaian sikap untuk advokasi yang mudah difahami, juga secara standard bukan flip flop.

“Dalam keadaan nyawa pemandiri jadi taruhan, masih ada di luar sana yang melihat itulah Imam mereka, jadi walau jahat mcm mana pun taat,” ulasnya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Ahli Dewan Negara itu menegaskan kekeliruan berkenaan kedudukan dan hak wanita akan berlanjutan sekiranya keadaan tersebut berterusan.

“Nah, selagi kitaran keganasan ini tak diubah dengan pemakaian standard advokasi yang jelas oleh semua wanita-wanita termasuk selebriti yang hebat dan dihormati, kekeliruan akan menatijahkan kesan domino bukan sedikit akan terus mengambil tempat,” katanya.

Sebelum ini, tular di Facebook seorang doktor pakar mata yang biasanya dipanggil Profesor mengeluarkan ucapan yang dianggap sensitif oleh semua pihak.

Menerusi videonya, doktor berkenaan memberi nasihat tentang perihal kepimpinan lelaki dan urusan jodoh wanita yang kemudian menyarankan wanita untuk menjadi ‘bodoh-bodoh’ sedikit untuk mendapatkan jodoh.

Sementara itu Aiman menegaskan, ada pihak yang barangkali sudah melepasi saat-saat kritikal ketidakmatangan hubungan dan proses kehidupan, tetapi jangan lupa masih ramai yang masih bertatih dan baru mula belajar erti kehidupan.