Malaysia Dateline

Buat ‘food bank’ sendiri, harap kerajaan pun tak guna – Tanamlah apa pun untuk bertahan hidup

Komuniti pertanian mengajak orang ramai memanfaatkan tanah yang ada sebagai usaha buat ‘food bank’ sendiri kerana nak harapkan kerajaan untuk menjaga bekalan makanan pun tak guna.

Rata-rata warga pekebun menyarankan tanam saja apa jenis sayur-sayuran dan buah-buahan untuk bertahan hidup dalam berdepan krisis ekonomi yang dijangka memburuk tahun depan.

“Tanamlah apa pun jenis tanaman yang boleh membuat kita bertahan hidup tanpa bergantung sepenuhnya bahan makanan yang dibeli,” kata hantaran menerusi Facebook Pertanian Satu Perniagaan.

Seruan itu dipersetujui orang ramai dengan menekankan bahawa pentingnya untuk masyarakat kita belajar teknik asas penanaman.

“Melihat pada iklim ekonomi Malaysia sekarang yang merosot, pendapatan penduduk menurun, inflasi menaik, baiklah kita rakyat biasa usahakan tanaman untuk sara diri,” kata seorang netizen.

Dalam masa sama, hasil tanaman itu boleh disedekahkan kepada jiran atau dibuat jualan bagi menampung perbelanjaan dapur serba sedikit.

Bahkan, jika tiada ruang tanah luas sekalipun terutama bagi mereka yang menghuni rumah teres apa lagi rumah pangsa, boleh diusahakan menanam dalam pasu.

“Saya dah tanam sayur tepi rumah. Sekarang tak beli sayur dah. Pelihara ayam dan itik di tepi rumah, kehidupan yang tenang.

“Boleh tanam dalam pasu. Sayur-sayur, kunyit, serai, daun kesum, daun kari, cili, pandan semua tu boleh tanam. Hendak seribu daya, memang kena usaha.

“Berbudi pada tanah bolehlah makan bendi dan terung. Tanam lima pokok tepi rumah walaupun tanam untuk suka-suka, bila dapat hasil happy sangat.

“Keledek boleh ditanam dalam pasu atau apa bekas pun boleh,” antara komentar warganet.

Menurut pekebun juga, bercucuk tanam juga dapat memberi ketenangan fikiran selepas seharian bekerja.

“Laman belakang dapur dan tepi rumah. Tanam serba sikit pokok sayur, ulam, bunga selain untuk dimakan, ia menjadi terapi sebab bekerja dari rumah,” kata netizen.

Bahkan, usaha menanam sayur sendiri lebih baik dalam mengelak pengambilan sayur beracun dan baja kimia.

“Saya tanam untuk kegunaan sendiri elak sayur beracun dan baja kimia. Allah berkati usaha, dari makan sendiri kini jadi sedikit pendapatan kerana jiran dan rakan berminat nak beli.

“Dapatlah tampung duit beli baja organik. Disamping itu, dapat buat sedekah sedikit sebanyak. Alhamdulillah,” kata Hajrah Embong.

Baca juga Bekas Menteri Pertanian turun pasar Chow Kit, harga ayam RM11 sekilo di sana

Baca juga Dihidang hanya mi kosong dengan sos ikan – Ini sebab pengetua tadika dipenjara 50 tahun