Buat hal! Kedai runcit sorok lebih 900 kg minyak masak bersubsidi diserbu KPDN

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada banyak kedai kecil mahupun pasar raya yang menyorok minyak masak bersubsidi dan hanya menjual ia kepada orang dikenali sahaja.

Malah kebanyakan warga asing yang bekerja di kedai runcit akan menyimpan ia dan menjual kepada rakan senegara mereka.

Satu kedai runcit di Bandar Sri Permaisuri, Cheras didakwa menyorok lebih 900 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dianggar bernilai lebih RM 2,500.

Serbuan itu dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) bersama KPDN Melaka.

Ini adalah susulan aduan pengguna yang diterima melalui sistem e-aduan KPDN dan menjalankan Ops Samar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan KPDN WPKL memaklumkan epasukan anggota penguat kuasa menjalankan siasatan dengan membuat uji beli (test purchase) secara samaran.

“Semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak paket sudah habis terjual.

“Berikutan rasa curiga dan rasa tidak puas hati dengan alasan yang diberikan, anggota pegawai penguat kuasa KPDN WPKL beruniform bertindak memasuki premis dan berjumpa dengan penyelia di situ.

“Pemeriksaan secara menyeluruh di premis perniagaan tersebut menemukan puluhan kotak minyak masak peket di dalam stor penyimpanan,” katanya.

Disebabkan itu, pasukan terlibat menyerbu dan menyita minyak masak satu kilogram bersubsidi dalam peket sebanyak 935 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,524.50.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 16 (1) (b)Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Operasi bersepadu ini juga adalah inisiatif baharu kerajaan iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) melalui KPDN seperti diumum Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali pada 19 Oktober lalu.

“Inisiatif ini satu langkah strategik kerajaan membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Baca juga: Restoran nasi kandar di ibu kota tular lepas pekerja dirakam tengah ludah makanan pelanggan