Malaysia Dateline

Buat keputusan segera sama ada harga siling ayam akan diteruskan atau tidak

Kerajaan perlu segera membuat keputusan sama ada harga siling runcit dan borong untuk ayam standard akan disambung atau dihentikan selepas 5 Jun depan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, keputusan hendaklah dibuat segera memandangkan tempoh kuatkuasa harga siling tersebut akan berakhir dalam masa kurang dua minggu lagi.

Sebelum ini kerajaan telah menetapkan harga siling runcit ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dan harga siling borong ayam standard pada harga RM7.60 menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, yang berkuat kuasa selama 121 hari bermula 5 Februari hingga 5 Jun 2022.

Subsidi kepada penternak ayam ialah RM0.60 sekilogram pada bulan Februari dan Mac dan ditambah kepada RM1.40 sekilogram pada bulan April dan Mei.

“Keyakinan penternak ayam terjejas berikutan kelewatan kerajaan memutuskan hal tersebut. Bekalan ayam dalam pasaran kurang kerana penternak kurang yakin dalam skema harga siling serta subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau menggesa agar kerajaan membereskan semua pembayaran subsidi dalam bulan Mei ini juga sebelum tamatnya tempoh kawalan harga siling.

Sementara itu mengulas keputusan terkini kerajaan untuk menghentikan eksport ayam, Wong berkata tidak semestinya langkah itu memberikan hasil seperti yang dirancang oleh kerajaan kerana penternak ada pilihan untuk tidak menternak lebih banyak ayam sekiranya terdapat kerugian berterusan

Katanya, kerajaan sepatutnya menjalankan kawalan eksport secara kuota dan merangka Dasar Obligasi Dalam Negeri (Domestic Market Obligation), yang mana pengeluar perlu menjual sebahagian besar daripada produk mereka di pasaran tempatan.

Malah, boleh juga sebahagian kecil dieksport supaya penternak-penternak ayam masih boleh mendapatkan keuntungan dari subsidi silang (cross subsidy) daripada pengeksport untuk menampung kerugian daripada pembekalan ke pasaran tempatan.

“Kerajaan hendaklah memberikan keyakinan kepada penternak-penternak ayam supaya bekalan ternakan mencukupi untuk pasaran serta masih ada keuntungan serta motivasi untuk terus membekalkan ternakan ayam kepada pasaran tempatan,” katanya lagi.

Baca juga: Rumah flat tapi selera teres, ‘ini kayangan B40 tuan-tuan’

Baca juga: 21 terkorban akibat tembakan rambang di sekolah dekat Texas