Buat kunjungan hormat ke rumah Presiden Pas, saran Ketua Armada PPBM

Buat kunjungan hormat ke rumah Presiden Pas, saran Ketua Armada PPBM

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya pemimpin tertinggi Pakatan Harapan mengatur pertemuan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediaman presiden Pas itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Bukan sekadar keluar kenyataan contohnya ajak mereka (Pas) datang ke sini (dewan The Clubs, Petaling Jaya). Pergi ke rumah dia sendiri ke rumah (Abdul) Hadi.

“Saya cadangkan pucuk pimpinan tertinggi parti kunjungi buat kunjungan hormat pergi ke rumah Tok Guru Hadi Awang, Tuan Ibrahim dan cuba mendekatinya. Kalau dia tak ajak masuk, itu menunjukkan pendirian dia, rakyat menilai,” katanya pada Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia di Selangor petang tadi.

Mengakui marah dengan serangan Presiden Pas terhadap Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini, beliau bagaimanapun berpendapat ego perlu diketepikan.

“Dia serang Tun memang (saya) sakit hati sangat tapi terpaksa telan ego,” ujarnya sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk sentuhan peribadi.

Menurutnya, sikap pihak Pakatan Harapan dan PPBM menyerang Pas sebelum ini termasuk mengaitkan Pas berbaik dengan Umno dilihat sebagai menggagalkan usaha untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu pada PRU14.

“Walaupun di peringkat awal banyak parti pembangkang mahu satu lawan satu, tetapi tidak boleh kita nafikan juga di pihak Pas dengan campur tangan Umno, kita pun ada keluar kenyataan-kenyataan yang mungkin boleh sabotaj usaha tersebut.

“Saya tahu ada yang datang dari parti saya sendiri tetapi pada masa sama juga datang dari parti-parti komponen Pakatan Harapan. Turunkan ego agak susah. Saya percaya jika kita tidak menyerang (Pas) balik, rakyat akan menilai kita berjiwa besar,” ujarnya.

Dalam program disertai NGO itu juga, Syed Saddiq bahkan menganggap Pas lebih lantang menyerang Umno berdasarkan siri ceramah disertai parti itu.

“Kebetulan baru-baru ini, bila saya berforum dengan exco Pemuda Pas, dia serang Umno lebih teruk daripada saya sampai dia cakap Umno tidak pernah menyumbang kepada orang Melayu sejak tertubuhnya Umno walaupun dulu Pas keluar dari Umno juga.

“Ini (cakap) exco-exco mereka, di negeri-negeri. Di Kedah, kalau pergi ceramah dengan Datuk Seri Mukhriz, mereka (Pas) kata benda sama juga.

“Fokus patut diberi kepada pucuk pimpinan Pas. Memang antara mereka ada yang berat sebelah kepada Umno dan ada antara mereka berat sebelah kepada Pakatan Harapan,” ujarnya lagi.

TAGS