Malaysia Dateline

Buat pembayaran ke 13 akaun bank berbeza, suri rumah ditipu hampir RM60,000

Gara-gara terperdaya dengan tawaran pekerjaan secara dalam talian menerusi aplikasi Facebook, seorang surirumah kerugian RM57,508.73.

Mangsa berusia 24 tahun itu melayari aplikasi Facebook dan ternampak iklan tawaran pekerjaan sambilan secara dalam talian yang mempunyai pautan dengan platform pembelian pada 2 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa kemudian menekan pautan aplikasi WhatsApp dan diminta berhubung dengan pegawai khidmat pelanggan yang memperkenalkan diri dengan nama Adam.

Buat pembayaran ke 13 akaun bank berbeza, suri rumah ditipu hampir RM60,000
Mangsa diminta untuk membeli pelbagai barangan melalui laman web platform pembelian.

“Mangsa kemudian diberikan beberapa tugas oleh Adam dan diminta untuk membeli pelbagai barangan melalui laman web platform pembelian itu serta dijanjikan komisen lumayan.

“Mangsa kemudian membuat pembayaran ke 13 akaun bank yang berbeza untuk pembelian itu.

“Bagaimanapun mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek masih meminta wang sedangkan dia tidak menerima sebarang komisen yang dijanjikan,” dipetik Harian Metro hari ini.

Tambah Elias lagi, wanita berkenaan membuat laporan polis semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.