Buat rakan-rakan Pas: Manfaatkan undi untuk pulih negara

Buat rakan-rakan Pas: Manfaatkan undi untuk pulih negara

Tinggal berbaki dua hari sahaja lagi untuk mengundi. Alhamdulillah, suasana nampak berjalan seperti biasa. Kempen PRU14 stabil, tiada insiden besar berlaku.

Himpunan dan rapat umum raksasa Pakatan Harapan nendapat sambutan luar biasa di mana-mana. Tapak lokasi sesak dan sendat. Siaran langsung FB mencecah hampir 100,000 penonton.

Sementara itu, masih terbuku kerisauan dan kegelisahan, bahawa kemenangan yang diimpikan mungkin tertangguh lagi. BN mampu kekalkan kuasa walaupun ia di pihak minoriti.

Sudahlah persempadanan semula kawasan pilihan raya direka khas untuk BN menang dari pintu belakang, kelebihan sebagai pemerintah dan faktor Cash is King akan dimanipulasi secara optimum.

Apa pun, saya masih berharap teman-teman dalam Pas akan mengundi Pakatan Harapan kali ini. Tentunya setiap ahli parti mahu pihaknya menang, tetapi dalam kes Pas, malang sekali apabila dijangkakan, yang mendapat manfaat besar daripada sokongan terhadap lambang bulan adalah Najib Razak dan BN.

Pas meletakkan calon bukan hanya melebihi separuh bilangan kerusi Parlimen, tetapi mengatasi dua pertiga. Persiapan dan penampilannya daripada segi bendera, banner, bunting, poster, diakui lebih menyerlah berbanding PH, yang menggabungkan empat parti besar.

Meskipun ada pihak mempersoalkan sumber dana kempen Pas – dalam keadaan kewangan parti yang kurang
‘sihat’ sebelum ini, termasuk kesukaran membiayai organ parti – tetapi selagi belum ada bukti mengesahkan, tidak perlu syak-wasangka itu diperbesarkan.

Bagi saya, di atas kertas, tiada beda besar antara Pas dan PH dari segi dasar dan tekad politik. Masing-masing berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru, walaupun Pas masih berteka-teki dengan cuta-citanya untuk menjadi kingmaker.

Cuma, isunya, keupayaan dan kemampuan untuk tumbangkan UmnoBN. Secara solo (tidak nampak pula kemantapan gabungan Gagasan Sejahtera itu, apatah lagi dilihat protes sebuah komponennya, Berjasa), penyertaan Pas lebih memudahkan regim korup/kleptokrat kekal berkuasa. Pas menolak kerjasama dengan pasukan yang lebih kuat dan berupaya untuk membentuk kerajaan serta memulihkan negara.

Niat dan seruan yang baik sahaja tidak memadai. Cita-cita luhur tanpa strategi dan pendekatan bijaksana mungkin berakhir bagai mimpi di siang hari.

Kita harus bijak menelah dan membaca yang tersirat. Bukankah, terkilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Ahli siasah, seperti penyokong Pas, tentu lebih maklum hakikat ini. Ia tidak wajar keliru dan berpusing-pusing di persimpangan. Jati diri Pas sebagai parti lawan kepada BN amat diragui.

Sekali mahu jadi penasihat kerajaan, sekali tidak berhasrat menjatuhkan perdana menteri tapi merubah sistem. Teori politik Pas kelihatan berbelit-belit. Lawan ketat bukan lagi Umno-BN dan penguasa korup, tetapi sesama pembangkang, khususnya DAP.

Faktor Pas bertanding hampir 160 kerusi Parlimen dan mencabar Umno pada setiap kerusi Dun (kecuali beberapa kawasan, termasuk Rantau, yang dimenangi percuma calon BN), bukanlah hujah terkuat regim Najib tidak mendapat manfaat daripada langkah Pas itu.

Umno lebih suka Pas bertanding seperti itu. Ia percaya dapat mencuri kemenangan apabila Pas beraksi bersendirian.

Kajian pendapat umum badan bebas juga menunjukkan kehadiran Pas sebagai ‘blok ketiga’ lebih menguntungkan BN. Tinjauan rambang saya, terutama ketika menunggu di hospital dan bertemu dengan rakan-rakan lama, juga mengesahkan hal yang sama.

Masing-masing mengeluh, kita nungkin terlepas peluang terbaik menyingkirkan Umno-BN kerana pendirian politik Pas.

Undi pembangkang akan berpecah sekurang-kurangnya dua, mengakibatkan BN berpotensi cerah melonjakkan diri sebagai pemenang, walaupun undi tidak melepasi separuh jumlah keseluruhan.

Situasi di Sabah sebelum ini banyak membuktikan kelebihan BN bila berdepan ramai calon lawan. Ada calon bebas yang ditaja BN. Di Semenajung, kes Dun Kota Damansara, pada PRU13 adalah bukti terdekat, bagaimana BN boleh menang di kubu kuat oposisi.

Pemimpin Pas pula berhujah, sama ada BN mahupun PH, kedua-duanya tidak mempunyai iltizam politik Islam yang jelas. Justeru, mereka ditolak. Dalam masa sama, Pas menghantar mesej, ia boleh bersama mana-mana pihak yang bersetuju dengan syarat Islamnya, jika BN atau PH gagal membentuk kerajaan.

Saya tidak bertujuan untuk meremehkan kekuatan Pas, yang bertanding bersendirian. Saya juga tidak turut sama meramalkan Pas boleh tewas teruk, mengulangi rekod 1986. Namun, pengamatan dari jauh dan serba terbatas ini, seolah-olah merumuskan pengaruh Pas hanya terbatas kepada ahli dan penyokong tegarnya sahaja. Tiada sebarang petanda menunjukkan khalayak yang mendukungnya bertambah ramai.

Masa sama, kita tidak sukar meneka syarat-syarat yang bakal dikemukakan Pas. Islam yang bagaimana dihasratkan Pas juga boleh dibayangkan. Kita juga agak mudah menjangkakan pihak mana yang lebih senang untuk diterima Pas sebagai rakan kongsinya nanti.i

Pimpinan Pas dan juga Umno sendiri, termasuk pengikut tegar masing-masing sudah membayangkan halatuju selepas PU14. Malah orang awam pun dapat merasai jalinan persefahaman tidak formal itu.

Sepertimana Pas mudah terperangkap dengat jerat RUU355, umpan hampir sama boleh ditawarkan Umno, untuk membentuk kerajaan jika BN atau PH gagal meraih majoriti.

Bukankah di musim kempen ini, pelbagai kecaman keras dilemparkan pimpinan Pas kepada PH, terutama olrh presidennya? Mahathir sentiasa dilihat sosok bermasalah dan meragukan, sementara personaliti Najib jarang disentuh. DAP sebagai sasaran belasahan tidak perlu dihurai lagi.

Dan dalam masa sama, cukup menonton berita TV3, untuk mengenal pasti parti mana menjadi seteru ketat BN dan sekutu tidak rasminya!

Sesungguhnya, kekuatan dan kemampuan untuk membentuk kerajaan baru juga harus diukur. Tanpa penggemblengan di bawah gabungan parti-parti yang mantap, idealisme hanya sekadar impian indah.

Saya percaya, kandungan manifesto Pas juga baik dan mementingkan kebajikan rakyat, mahu membaiki sistem yang rosak dan mereformasi institusi strategik.

Tapi mengundi Pas hanya menjadikan peluang menukar kerajaan bertambah tipis. Undi itu terbazir.

Bukan hanya saya yang kerap nengulangi hal ini. Badan kajian bebas, seperti Merdeka Centre, Institut Darul Ehsan, Ilham Centre, juga ramai penganalisis politik, membuat unjuran sama, yakni penyertaan Pas dalam PRU14 dalam bentuk yang ada hanya menguntungkan Najib-Umno.

Dalam satu laporan terbaru, peluang PH menguasai negeri Perak juga dikatakan mungkin terlepas, antara lain disebabkan faktor undi Pas.

Tidak dinafikan Pas nampak masih kuat di Kelantan dan Terengganu. Saya tidak terkejut jika Pas boleh tawan balik Terengganu tapi rebah di Kelantan, walaupun ada pengkaji meramalkan, Pas juga boleh kecundang teruk di Terengganu disebabkan undi pembangkang berpecah.

BN menunggu lama untuk kembali bertakhta di Kelantan. Veteran politik Umno juga masih berpengaruh di sana. PH memang ada Husam Musa, tokoh yang mampu menggerakkan ekonomi negeri dan terkini bintang menyinar, Ustaz Nik Omar Nik Aziz muncul secara tiba-tiba. Legasi Tik Guru Nik Aziz membawa harapan baru buat Kelantan. Warganya juga celik politik dan mampu membuat keputusan tepat.

Namun ada pemerhati bimbang, jika tiada kejutan besat, termasuk dari pengundi di perantauan atau faktor Nik Omar gagal dimanfaatkan dengan berkesan, laluan BN Kelantan nampak seolah-olah sukar disekat.

Soalnya, kita mahu menggantikan kerajaan persekutuan, dan merehatkan Umno-BN. Bukan mendirikan hanya satu dua kerajaan negeri yang baru. Rakyat dambakan perubahan total, yang mampu merawat pelbagai penyakit kronik negara. Mereka mahu keluar daripada keperitan dan tekanan hidup yang kian membengkak.

Pas mungkin sudah selesa dan berpuas hati jika dapat pertahan Kelantan dan merampas Terengganu, walaupun kerajaan pusat kekal mencengkam Putrajaya.

Justeru, tanpa jemu, saya merayu rakan-rakan dalam Pas untuk mempertimbangkan sokongan mereka pada 9 Mei ini. Fikir sejenak, kita sudah melalui perjalanan sejauh ini, demi membebaskan rakyat dari regim penindas.

Kita telah menyaksikan lima kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat pada 2008, dan penafian majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Ternyata, tidak cukup sekadar itu, Putrajaya mesti diambil alih sepenuhnya, untuk membawa perubahan dan pembaharuan.

Justeru, undi anda tidak wajar dibazirkan, malah diperalatkan, untuk menjadi talian hayat Umno-BN. Fikirkan yang terbaik, insya Allah, anda sudah memulakan langkah yang betul untuk proses memulihkan tanah air tercinta ini.

CATEGORIES