Malaysia Dateline

‘Buat sesuatu pulihkan keyakinan masyarakat terhadap Kehakiman’

Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin menggesa supaya sesuatu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media berhubung mahkamah memaklumkan bahawa pihaknya tidak sedar akan kehadiran pihak media yang membuat liputan kes anak Presiden Umno, Nurulhidayah yang didakwa di Mahkmah Majistret Putrajaya, pada 5 Mei lalu.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menafikan dakwaan bahawa media tidak dibenarkan membuat liputan kes berkenaan.

Sebaliknya kenyataan itu mendakwa bahawa mahkamah pada hari berkenaan agak sesak sehingga menjejaskan penjarakan sosial kerana terdapat kes lain selain membabitkan Nurulhidayah.

“Semakan telah dibuat oleh pejabat ini, dimaklumkan bahawa tiada larangan untuk pihak media membuat liputan pada hari tersebut.

“Mahkamah terbuka sesak dan tidak terdapat penjarakan sosial. Mahkamah telah mengarahkan agar orang awam yang berada di dalam mahkamah terbuka untuk keluar bagi memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi.

Kata kenyataan itu lagi, Mahkamah juga tidak sedar akan kehadiran pihak media yang membuat liputan pada hari tersebut. Oleh itu tiada isu pihak media dihalang untuk membuat liputan.

“Saya sengaja lambat mengulas berita ini kerana saya hendak tenangkan emosi saya dan hadam kenyataan ini betul-betul.

“Ini bukan kenyataan yang kita dengar hari-hari, sebaliknya ia boleh dikategorikan sebagai luar daripada kebiasaan.

“Sebagai wartawan lama, saya diajar menghormati mahkamah dan saya tahu padah tidak menghormati mahkamah apa tah lagi menghinanya. Boleh masuk penjara.” kata beliau menerusi akun Facebooknya hari ini.

Kata bekas, sepanjang pengalaman beliau membuat dan mengikuti laporan mahkamah, inilah kali pertama beliau mendengar alasan mahkamah tidak sedar ada wartawan dalam balik mahkamah (courtroom).

“Saya belajar membuat laporan mahkamah bermula di Mahkamah Juvana, di Bukit Mahkamah atau Court Hills, Kuala Lumpur, pada tahun 1969.

“Apatah lagi dalam hal yang sedang kita perkatakan ini, dua tertuduh itu adalah berprofil tinggi dan sensasi iaitu Nur Hidayah binti Ahmad Zahid atau kini digelar Binti Ahmad Zahid, dan suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff.

“Lojiknyalah, pihak kemakiman atau busuk-busuk pun pihak keselamatan mahkamah, mengambil maklum bahawa ini adalah kes minat tinggi yang telah pun dihebahkan dengan meluas oleh media arus perdana dan media sosial.

“Jadi sepatutnya sudah boleh diagak yang media massa akan membuat liputan,” kata beliau.

Jelas Kadir, kita tidak boleh menyekat masyarakat membuat andaian dan kesimpulan bahawa kejadian itu terjadi kerana anak dan menantu orang kenamaan dibicarakan.

“Maaf cakaplah kalau saya kata, kejadian ini dan alasan yang dibagi tidak memberikan gambaran yang positif terhadap sistem Kehakiman kita.

“Mohon buat sesuatu supaya keyakinan masyarakat terhadap Kehakiman kembali positif,” katanya lagi.