Orang ramai menempelak pasangan kontroversi yang sebelum ini mengundang bantahan dan kemarahan umum.
Malah, ada yang mengucapkan “padan muka” lantaran sudah mula menuai hasil daripada apa yang mereka lakukan.
Siti Nuramira Abdullah, 26, dan teman lelakinya, V Alexander Navin, 38, hari ini naik mahkamah dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Wanita berkenaan sebelum ini disyaki menghina Islam ketika membuat persembahan termasuk menanggalkan baju dan tudung di Kelab Komedi Crackhouse dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di Kuala Lumpur.
Dia bagaimanapun di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menimbulkan permusuhan dan kebencian.
Sementara itu, V Alexander Navin didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) dan Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengikut pertuduhan pertama, dia pada 5 Jun lalu memuat naik hantaran yang menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ di pautan Instagram membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 199, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di YouTube pada 16 Jun lalu di tempat yang sama dan melakukan kesalahan mengikut seksyen yang sama.
Perkembangan terkini terhadap dua individu itu mengundang kecaman dan sindiran netizen pelbagai kaum termasuk ‘galakan’ untuk buat lawak begitu lagi.
“Buatlah lawak lagi, kami nak ketawa,” kata seorang warganet.
Sementara itu, Vijayanathan Rajoo menulis, “Tahu sistem negara dan amalan perpaduan kita, masih nak cabar?”.
Tidak kurang juga berpendapat sikap mereka hanya akan menajamkan lagi jurang perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
“Sikap individu yang seperti inilah yang menambahkan lagi perasaan curiga mencurigai dalam kalangan rakyat negara ini. Ia sangat tidak adil kepada pihak lain,” kata Mat.
Menerusi satu rakaman video yang dilakukan sendiri oleh wanita yang membahasakan dirinya sebagai Amy itu, dia mengaku sedang berjinak untuk menjadi pelawak.
Dia yang memberitahu berasal dari Kuala Kangsar, Perak pada masa ini dalam pengajian separuh masa belajar undang-undang.
“Amy sudah berkahwin dan Amy ada tujuh boyfriends,” katanya.
Jelasnya, dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat berpegang teguh pada ajaran Islam dengan pada usia enam tahun sudah menutup aurat, mengenakan tudung dan memakai stoking.
“Tapi masa umur 20 tahun, Amy officially start tanggal tudung. Amy tak pakai tudung lagi.
“Tingkatan 1 hingga 3, Amy dihantar ke sekolah agama, sekolah tahfiz dan Amy sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.
“Habis saja tahfiz, Tingkatan 4 dan 5, Amy ambil SPM, masuk Tingkatan 6, study bisnes. Habis form 6, masuk universiti di Pulau Pinang, ambil PR (Public Relations),” kata Amy lagi.
Baca juga Wanita disyaki hina Islam direman hingga esok
Baca juga Wanita mengaku tidak pernah amalkan ajaran Islam, pemohonan semakan murtad ditolak