‘Buatlah masa gaji, rasa macam tak balik mengundi’ – Ramai mengeluh buang undi ketika poket kering

Oleh ARIF ATAN

Pemilihan 19 November depan sebagai hari buang undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat mengundang keluhan orang ramai terutama golongan pekerja makan gaji.

“Buatlah masa gaji, syok sikit nak keluar undi.

“Belum gaji. Macam mana nak balik kampung walaupun sejam dah sampai.

“Aku rasa macam tak balik mengundi je. Poket kering masa tu.

“Harap kali ni dapatlah elaun balik mengundi. Jauh nak balik mengundi,” demikian antara reaksi pengundi yang berkaitan duit.

Dalam masa sama, warganet juga dilihat menyindir bahawa tarikh ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dengan jangkaan bencana banjir.

“Masa tu dapatlah payung, pelampung percuma.

“Sediakan sampan masing-masing. Takut-takut kalau pelakon yang berlakon lima tahun sekali lemas,” perli warga maya merujuk pada calon bertanding di 222 kerusi Parlimen.

Seramai 21,173,638 pemilih diberi hak mengundi bulan depan.

Hari ini, SPR turut memaklumkan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 November bagi semua calon dan parti politik bertanding hingga jam 11.59 malam, 18 November.

Pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah juga akan membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tarikh sama, 19 November bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU-15 dan PRK DUN Bugaya adalah daftar pemilih terkini hingga daftar pemilih tambahan pada Ogos 2022 yang dikemaskini hingga 9 Oktober 2022 membabitkan 21,173,638 pemilih.

Jumlah itu membabitkan 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan termasuk anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU-15 dan PRK DUN Bugaya Sabah.

SPR menganggarkan PRU-15 dan PRK DUN Sabah memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion.

Baca juga ‘Duit beli susu, pampers anak pun harap simpati kawan’ – Ini realiti poket marhaen, netizen kongsi cara elak dompet ‘kering-kontang’

Baca juga Makan lobak untuk elakkan rabun sebenarnya mitos, hanyalah kempen masa perang dunia kedua