Malaysia Dateline

Bubar DUN: Ini muslihat Umno agar tidak ramai pulang mengundi

Pengerusi pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan menganggap ada udang di sebalik batu dari tindakan Umno yang secara drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, walhal parti itu sebelum ini menafikan hasrat pembubaran yang bertiup kencang selama beberapa hari.

Menurutnya, Umno mungkin mahu meminimakan peratusan keluar mengundi kerana rakyat Johor tidak mungkin pulang ke kampung halaman untuk kali kedua selepas mereka bercuti sempena sambutan raya Cina minggu depan.

Bahkan katanya, sempadan Singapura yang masih belum dibuka sepenuhnya bakal menghalang rakyat untuk pulang mengundi.

“(Tindakan Umno ini menggambarkan) dia mahu menghalang pengundi-pengundi yang baru balik pada Tahun Baru Cina. Mereka (pengundi) tidak akan balik lagi semata-mata mahu mengundi.

“Selain itu, pengundi-pengundi yang baru pertama kali berdaftar iaitu 21 tahun ke bawah terutama 18 tahun, kebanyakan mereka tidak mengetahui tempat mengundi.

“Sempadan Singapura yang belum dibuka menyebabkan rakyat Johor tak dapat pulang mengundi. Dia secara tak langsung menggambarkan Umno seolah-olah mahu menghalang pengundi luar untuk pulang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Sementara itu Aminolhuda juga tidak menolak kemungkinan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal membabitkan impak kewangan yang besar lebih RM150 juta kepada kerajaan susulan limpahan pengundi-pengundi muda yang baru didaftarkan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan DUN Johor berkuatkuasa hari ini.

Spekulasi mengenai PRN Johor mula tersebar minggu lalu dengan kerajaan yang dipimpin BN hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

Ia berikutan kematian Adun Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian pada 21 Disember lalu.