Malaysia Dateline

Bubar DUN: keputusan gopoh, tidak fikir keselamatan rakyat

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak wajar dibubarkan dalam keadaan negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab.

Beliau menyifatkan tindakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai tergopoh gapah yang memperjudikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, walhal perbincangan masih boleh dilakukan.

Bahkan katanya, pandangan yang tersebar tentang kemungkinan bakal berlakunya darurat bagi mengelakkan pilihan raya negeri, hanya menguatkan kesimpulan bahawa gerakan yang dilakukan Umno ini merupakan permainan politik untuk memastikan kuasa tidak jatuh di tangan pihak lain.

“Ada mainan politik sengaja tak mahu kerajaan baru ditubuhkan, jadi dia bubar Dun. Niatnya bukan nak buat PRN, buat darurat pulak. Nampak di situ ada permainan yang bagi saya hanya nak pastikan tidak tertubuhnya kerajaan baru.

“Sepatutnya, tidak berbangkit pun isu darurat dan bubar Dun ni. Ada lagi pilihan lain sama ada buat kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran untuk elakkan pilihan raya berlaku.

“Kita nampak di sini bila PH jatuh, cepat-cepat mereka tubuh kerajaan, (berbeza dengan Umno). Bagi saya pembubaran ini dilakukan begitu tergopoh gapah sedangkan semalam baru buat sidang media tarik sokongan, hari ini sudah bubar,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebooknya malam ini.

Politik Melaka dipercayai bergolak apabila sekurang-kurangnya empat ADUN yang sebelum ini mendukung kerajaan, mengalih sokongan masing-masing kepada pembangkang.

Spekulasi mengenai perkara itu disahkan selepas mereka membuat sidang media mengumumkan penarikan sokongan daripada Ketua Menteri Melaka ketika itu iaitu Sulaiman.

Ketika ini, beberapa pihak di sebelah Umno mula mencadangkan agar darurat dikuatkuasakan sekiranya PRN tidak dapat dilaksanakan ekoran keadaan wabak Covid-19 yang boleh merisikokan kesihatan pengundi.

Sementara itu Sofi berkata, ada individu yang sedang dahagakan kuasa tidak sabar mahukan pilihan raya, dan mempersoal siapa mahu bertanggungjawab terhadap kesihatan rakyat jika PRN diteruskan.

Pada masa sama beliau mengingatkan bahawa polemik politik yang berlaku di Melaka, sama sekali tidak membabitkan Pakatan Harapan, sebaliknya disebabkan pertengkaran dalaman Umno sesama Umno.

“Kalau Umno ini bertanggungjawab, mereka tak akan menggadaikan kesejahteraan dan kesemalamatan rakyat. Jangan nak tuding jari kata PH penyebab PRN. Yang bergaduh dia sesama dia,” ujarnya lagi.