Bubar Dun: MB Kedah akan temui Sultan dalam masa terdekat

Bubar Dun: MB Kedah akan temui Sultan dalam masa terdekat

Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan menghadap Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda untuk membubarkan Dun kedah dalam tempoh terdekat.

Katanya, beliau memerlukan sedikit masa bagi menghadap dan mendapat perkenan Sultan Kedah bagi pembubaran tersebut.

Ujarnya lagi, adalah tidak perlu pembubaran dilakukan secara terburu-buru selepas Perdana Menteri (PM) mengumumkan pembubaran Parlimen.

“Sebagai MB, saya akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan bagi mendapat perkenan tersebut.

“Walau bagaimanapun tatkala ini, semua exco kerajaan negeri yang ada masih lagi kekal.

“Mereka akan terus melaksanakan peranan yang telah diberikan sehingga hari mengundi,” jelasnya selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Exco Kedah Rabu lalu.

Menyentuh mengenai manifesto BN Negeri Kedah beliau berkata, pelancaran manifesto tersebut akan dibuat tidak lama lagi.

Namun begitu tegasnya, sehingga kini tarikh sebenar pelancaran manifesto tersebut belum dapat diputuskan lagi.

“Masih terdapat beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan sebelum manifesto tersebut dilancarkan.

“Ia akan diumumkan secara serentak bagi peringkat Dun dan juga Parlimen.

“Senarai calon yang telah diserahkan kepada PM adalah calon yang telah ditapis serta menepati kehendak parti dan juga rakyat,” katanya lagi.

Di samping itu tambahnya, seramai 51 calon akan diletakkan mewakili BN merangkumi 36 kerusi Dun dan 15 kerusi Parlimen.

Katanya lagi, calon yang telah disenarai pendek tersebut adalah mereka yang telah berjaya melepasi saringan termasuk tiada rekod polis maupun SPRM.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote