Malaysia Dateline

Bubar Kabinet selepas Julai 2021 beri peluang lebih ramai pengundi muda

Barisan Ahli Dewan Negara Pakatan Harapan (PH) hari ini meminta agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Kabinetnya bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya selepas Julai 2021.

Senator Ismail Yusof berkata, pilihan raya wajar diadakan selepas tempoh itu bagi memastikan pengundi berumur 18 tahun dapat didaftarkan selain menanti sehingga pendaftaran automatik dapat dilaksanakan.

“Saya tegaskan semula untuk meminta Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar dapat mengadakan PRU-15 selepas Julai 2021 bagi memberi peluang kita meraikan demokrasi lebih baik dengan penglibatan lebih ramai pengundi.

“Perdana Menteri ketika menjawab soalan saya pagi ini memaklumkan bahawa seramai 4.2 juta anak muda berumur 21 tahun masih belum berdaftar sebagai pengundi.

“Sekiranya undi 18 dilaksanakan, peningkatan akan menjadi 21 juta pengundi,” jelasnya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Ismail, kerajaan yang diwujudkan dengan perolehan majoriti adalah lebih dipercayai sekiranya pilihan raya diadakan selepas Julai 2021.

Sebaliknya, tegas beliau, mana-mana pihak tidak akan dapat majoriti menyerlah untuk menubuhkan kerajaan yang lebih stabil jika pilihan raya dijalankan dalam suasana politik yang tidak menentu ketika ini.

“Kalau ikut pembentangan bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, hampir 23 juta pengundi akan didaftarkan pada tahun 2023.

“Ini bermakna lebih ramai suara rakyat dapat dizahirkan melalui pilihan raya. Kita yakin kerajaan yang akan diwujudkan selepas itu, majoritinya mungkin lebih baik.

“Kalau buat sekarang dengan suasana politik tidak menentu, tidak membolehkan sesiapa dapat majoriti menyerlah untuk buat kerajaan lebih stabil,” tambah Ismail lagi.