Malaysia Dateline

Bubar Parlimen sekarang untuk kepentingan siapa?

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Apabila membaca dan melihat gambar kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya teringat kepada pertemuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan sekumpulan ahli parlimen BN dan PKR berkumpul di kediaman rasmi di Presint 10, Putrajaya.

Ahli parlimen BN mengunci mulut berhubung tujuan lawatan mereka ke banglo yang terletak di tepi Tasik Putrajaya itu. Sumber berkata sekurang-kurangnya 22 ahli parlimen BN dan lima ahli parlimen PKR hadir perjumpaan itu.

Pertemuan seperti ini ditular dan berapa banyak pertemuan-pertemuan belakang tabir yang dirahsiakan akhirnya membuahkan langkah dinamakan Langkah Sheraton. Apakah pula langkah kali ini, adakah langkah Najib ke rumah Zahid?

Pertemuan kali ini tidak dirahsiakan objektifnya sebab dinyatakan dalam FB Zahid dengan kenyataan “Kami sudah siap PRU-15”. Adakah kenyataan ini sekadar propaganda, tunjuk gah bahawa Umno sentiasa kuat berdasarkan senario sekarang mereka sudah boleh menang besar jika PRU-15 diadakan. Adakah ia sekadar mengukur pemasaran politik atau gerak balas netizen?

Kenyataan Zahid “Kami sudah siap PRU-15” tidak nampak kepentingannya di mata rakyat dan ia tidak mengutamakan rakyat, kata-kata ini semacam lebih mengungguli kepentingan segelintir kerana ia tidak mempunyai nilai di mata rakyat seolah-olah memperlihatkan nilai keegoan pemimin sahaja.

Bulan Julai sesi parlimen akan bermula dan bulan Julai akan berakhir PKP. Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari mulai 13 Julai depan, selepas sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sesi persidangan yang ditangguhkan selepas sesi pembukaan, akan berlangsung hingga 27 Ogos dengan mengambil kira keadaan semasa terutama wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berdasarkan data perbandingan kes harian Covid-19 (ditolak kes import, kes warga asing di depoh tahanan dan warga asing dalam komuniti) berbanding unjuran pemodelan pada 21 Mei mendapati wabak Covid-19 akan berakhir pada 14 Julai depan.

Beliau berkata, ia akan berlaku sekiranya rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Adakah ini suatu kebetulan atau perancangan pihak yang tidak mahu Parlimen bersidang? Di samping itu terdapat banyak berita dalam media sosial mengenai kerapuhan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yaasin. Tidak tahu sejauh manakah sahihnya berita-berita ini tetapi antara yang dapat dikutip ialah:

1) PAS menghantar rombongan meminang mereka berjumpa Tun Dr. Mahathir dengan menawarkan 18 Ahli Parlimen mereka menyertai PH

2) Jumlah bilangan Ahli Parlimen yg menghantar SD (Akuan bersumpah) kepada Dr. Mahathir dan Anwar juga mencecah 129 dan sedang bertambah dalam apa yang dinamakan ORDER 129.

3) Kononnya sudah ada perkenan dari Istana untuk menghadap dan mempersembahkan kepada Tuanku untuk mendapat perkenan menubuhkan kerajaan baru

4) Bilangan ahli-ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin sehingga hari ini masih belum mencecah 90 orang dan banyak lagi.

5) Timbul pula rakaman audio Muhyiddin Yassin mengaku berniat untuk memberikan rasuah jawatan GLC bagi menarik ahli-ahli parlimen Umno ke Bersatu dan beberapa lagi audio lain.

Bagaimanapun kesahihannya masih diragukan namun gambar pertemuan Najib-Zahid di atas dapat menjelaskan senario yang bakal timbul.

Mengapa Zahid tiba-tiba menyebut berkenaan Piliharaya Umum ke 15? Rasa tiga tahun lagi. Adakah pergolakan-pergolakan yang berlaku di belakang pelitup muka Covid-19 menemukan jawapannya dengan pembubaran parlimen oleh PN?

Persoalannya seperti yang dikemukakan di atas ialah jika diadakan PRU-15 dalam jangka masa terdekat siapakah yang mendapat manfaatnya di kala negara dan rakyat berhadapan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu?

Ucapan Zahid akan menggelisahkan rakyat menampakkan seolah-olah Umno tidak prihatin raykat dan sekadar ingin berkuasa sahaja. Bukankah rakyat telah mengundi pada PRU-14? Apakah Umno tidak berpuas hatikah?
Atau Umno telah nampak tanda-tanda bahawa PN tidak bertahan lama dan terbuka peluang untuk mereka berkuasa melalui pembubaran parlimen.

Apakah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah nampak apa yang rakyat tidak dapat bayangkan apabila memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Najib boleh memberikan sebarang kenyataan sebagai merasionalkan pertemuan sama juga dengan Azmin dahulu. Bekas perdana menteri Najib Razak berkata BN sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) jika parlimen dibubarkan bagi mengembalikan kestabilan politik.

Siapakah yang membuat politik bergolak sekarang dan siapakah yang memainkan isu anti-Islam, anti-Melayu dan Buy Muslim First (BMF). Manakah pemimpin Umno yang memperjuangkan isu BMF sekarang?

Najib dalam satu kenyataannya mendesak agar SPR memulakan kerja untuk membuat SOP untuk pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Zahid ini juga sebagai amaran kepada PH dan Tun Dr Mahathir bahawa Umno sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan PRU-15.
Persoalannya siapakah yang hendah membubarkannya. Adakah Muhyiddin hendak membunuh Bersatu dan jawatannya sebagai PM. Adakah setelah PRU-15, Muhyiddin akan kekal menjadi PM, apakah jaminannya?

Jika pemimpin Umno boleh membuat kenyataan sedemikian adakah ini menandakan kerajaan PN di bawah Muhyiddin begitu lemah sekarang?
Apabila Muhyyidin menghalang sebarang usul termasuk usul undi tidak percaya yang telah diterima oleh Speaker, adakah keadaan jumlah ahli parlimen yang menyokong beliau berada dalam keadaan kebuntuan 111-111 sekarang. Jika berlaku perubahan kerusi menyebelahi PH istimewanya dari GPS atau kem-kem PAS, ini bermakna PH akan berkuasa.

Kebimbangan terhadap Order 129 yang diapung walaupun tidak pasti kebenarannya sudah cukup mendebarkan. kebimbangan elit kepimpinan Umno. Sekira berlaku peralihan kuasa kedudukan mereka akan terancam dan bagaimana dengan kes-kes mahkamah yang sedang berjalan.

Keadaan ini membayangkan kebimbangan mereka terhadap pertuduhan dan perbicaraan yang dihadapi sekarang.

Soalan-soalan yang timbul ini mencadangkan senario-senario bakal muncul dan kesannya daripada pembubaran parlimen atau peralihan kuasa.

Mungkin jalan mengelakkan semua perkara ini ialah dengan pembubaran parlimen. Mandat rakyat sudah diberikan pada PRU-14, tetapi telah dikhianati dengan rampasan kuasa PN.

Pergolakan dalaman Bersatu yang berpecah kepada kumpulan pro Mahathir dan pro Muhyiddin yang masih bergolak semacam tiada noktah. Isu pemecatan Dr Mahathir dan empat orang penyokong , pecat memecat dalam Bersatu dengan api perpecahan semakin besar.

UMNO dan GPS Sarawak sendiri pun tidak mengiktiraf PN. Terdapat berita mengenai UMNO dan PAS bersengketa berebut kerusi-kerusi tradisi Melayu yang terutamanya yang dikuasai PAS. Parti Islam itu tentulah tidak mahu melepaskannya. Muhyiddin dan Bersatu terpaksa berkongsi kerusi pilihan raya yang sama dengan Umno dan Pas iaitu kerusi Melayu luar bandar.

Jika Umno dan Pas belum selesai dalam pembahagian kerusi antara mereka, bagaimana dengan Bersatu pula. Agak mustahil jika kedua-duanya mahu memasukkan satu lagi rakan untuk berkongsi kerusi yang sama iaitu kerusi Melayu luar bandar.

Bersatu akan mempunyai kedudukan yang sukar jika mereka terpaksa berunding dengan Umno dan Pas dalam menentukan kerusi dalam pilihan raya kerana mereka bertanding di kerusi yang sama.

Bagaimana dengan Azmin yang menurut Dr Mazlan Ali kedudukan bekas timbalan presiden PKR dan rakan-rakannya yang meninggalkan PKR juga sama dengan Bersatu.

“Kat mana Azmin akan bertanding jika Parlimen dibubarkan tahun ini. Saya yakin bukan Gombak kerana mereka tidak ada sokongan akar umbi.

“Oleh itu bagi saya, bubar Parlimen bukan juga pilihan untuk Azmin dan rakan-rakannya buat masa sekarang,” katanya

Gambaran pembubaran ini terlihat apabila Exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzammil Ismail mendedahkan bahawa Presiden Umno Zahid Hamidi pernah menawarkan Bersatu supaya kembali menyertai Umno.

Bagaimanapun, kata Muzammil, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak akan bersetuju dengan cadangan itu.

Muzammil berkata demikian ketika dihubungi Malaysiakini bagi mengulas laporan yang mengatakan terdapat perbincangan sedang diadakan antara Bersatu dan Muafakat Nasional bagi membolehkan parti itu kembali menyertai Umno dalam masa terdekat.

Sehingga rencana ini ditulis, Malaysia Dateline melaporkan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya berkuatkuasa Khamis 4 Jun 2020.

Dalam satu kenyataan medianya, Sharuddin berkata, tindakan ini dibuat sebagai pembetulan kepada tindakannya menyertai Perikatan Nasional sedangkan rakyat memilih beliau sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan.

Maka ia satu tamparan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang rapuh itu. Adakah akan berlaku kesan domino dan peralihan kuasa menjadi kenyataan. Maka nampaknya harus PN membubarkan parlimen bagi menyelamatkan keadaan?

Maka sekali lagi dipertanyakan sejauh manakah kepentingan pembubaran parlimen ini (jika berlaku) kepada rakyat? Sang politikus seolah-olah mempermainkan kedaulatan dan keyakinan rakyat terhadap pilihan raya termasuk kewibawaan kerajaan. Adakah pada akhirnya rakyat hanya jadi penonton, majoriti yang diam, tergumam dengan perkembangan yang berlaku?
——————
Kolumnis adalah seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (Unisel)