Bubar RAMD: Ahli Umno juga tempelak Najib

Zaharin dakwa kenyataan Najib itu membodohkan rakyat dan mainkan sentimen perkauman.

 

Kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) akan dibubarkan jika DAP memerintah bukan saja ditempelak oleh bekas pegawai RAMD bahkan juga ahli Umno.

Zaharin Mohd Yasin, ahli Umno dari Bandar Tun Razak menyifatkan kenyataan itu sebagai “membodohkan rakyat dan mainkan sentimen perkauman”.

“Jangan cakap ikut sedap mulut RAMD akan dibubarkan oleh DAP. Jika Pakatan Harapan memerintah.

“Satu perkara yang saya paling tak suka.. membodohkan rakyat dan mainkan sentimen perkauman. Contohnya bila pula DAP akan [email protected] Regiment Askar Melayu Di Raja,” tulis Zaharin dalam Facebook beliau yang mendapat sambutan luar biasa dari para pengguna laman sosial itu.

Menurut Zaharin, jika DAP menang 146 kerusi pun dia tidak akan melakukan bertambah pula hanya sekadar bawah 50 kerusi dalam Pakatan Harapan.

“Pertama RAMD adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan melalui Perlembagaan dibawah Panglima Tertinggi Angkatan Tentera ia itu Yang Di Pertuan Agung dengan kawalan Majlis Angkatan Tentera yang di Pengerusikan oleh Menteri Pertahanan.

“Bagaimana pun setiap keputusan hendak diperkenankan oleh Yang Di Pertuan Agung selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera mengikut kuasa Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kedua ialah, katanya, RAMD pada asasnya ditubuhkan oleh Raja-Raja Melayu dalam Kerajaan Melayu Bersekutu di zaman penjajah.

Setiap tindakan dan apa sahaja keputusannya hendaklah dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Dan tidak mungkin Majlis Raja-Raja akan bersetuju RAMD dibubarkan, katanya.

“Melainkan DAP mencadangkan Raja-Raja Melayu dihapuskan dan negara Malaysia menjadi sebuah negara Republik, itu pun tidak mungkin akan berlaku. Kerana akan berlaku perang saudara dan perkauman,” katanya.

Bagi beliau, kenyataan ini adalah satu kenyataan hasutan yang boleh menimbulkan huruhara dalam negara dan tidak wajar dijadikan ucapan dan percakapan dan sudah dikira sebagai ‘Berita Tidak Benar’

Didalam perjanjian tidak bertulis sebelum Merdeka, katanya, Kerajaan Perikatan telah bersetuju bahawa bagi bukan Melayu ia itu Pemuda Cina dan India dan lain-lain kaum yang mahu menyertai angkatan tentera, kerajaan menubuhkan satu askar pelbagai kaum gabungan tentera kereta perisai ia itu Regimen Persekutuan dan Pasukan Askar Peninjau kepada nama baru yang dinamakan Kor Peninjau Persekutuan tetapi lebih dikenali dengan nama Askar Peninjau.

Tetapi hari ini, katanya, Kor Peninjau sudah dilupuskan lebih awal dengan menukar namanya sebagai Kor Armour Di Raja.

“Masa ketegangan Krisis Perlembagaan tahun 90an.. Ada cadangkan untuk menutup atau membubarkan Askar Timbalan Setia Johor.

“Akhirnya berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan mendapati adalah tidak boleh dilakukan samada oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri membubarkan Askar Timbalan Setia Johor.. kerana setiap Perjanjian dan perbuatan yang telah berlaku sebelum hari Merdeka adalah tidak boleh dipinda,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak berhati-hatilah mengeluarkan percakapan dan ‘gossip politik’ yang tidak berasas dan menyakitkan hati orang lain, saperti mana kenyataan-kenyataan hari ini bahawa jika DAP berkuasa RAMD akan dibubarkan..

“Satu percakapan tak masuk akal dan tidak mungkin boleh dilakukan masa terdekat, tidak tahulah pada tahun TN50,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak malam kelmarin memberi amaran bahawa pasukan infantri dalam tentera darat itu mungkin dibubarkan jika kerajaan yang melaksanakan konsep ‘Malaysian Malaysia’ dipilih.

Walaupun Najib tidak menyebutkan nama parti politik, Malaysian Malaysia merujuk secara jelas kepada DAP yang digambarkan presiden Umno itu sebagai anti-Melayu dan Islam.

Selain Zaharin, persatuan Patriot yang menggabungkan bekas tentera dan polis turut membantah kenyataan Najib itu.

DAP pula sebelum ini berkata, partinya akan mempertahankan RAMD.

Namun begitu, kenyataan Najib itu ada juga penyokongnya iaitu Datuk Ibrahim Ali.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan, pihaknya tidak menolak bahawa cubaan untuk menghapuskan unit tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu benar-benar akan terjadi atas dasar bagi melenyapkan terus ‘bayangan Melayu’ dalam apa juga bentuk.

Katanya, entiti-entiti lain yang mempunyai identiti pribumi juga akan mengalami nasib serupa kerana perjuangan DAP, yakni Malaysian Malaysia secara jelas menolak Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysian Malaysia ialah konsep kesamarataan, maknanya segala-galanya nanti akan sama. Jadi langkah ke arah membubarkan RAMD itu bukan sesuatu yang mengejutkan sebab mereka mahu askar Malaysia bukan askar Melayu.

“Askar dan polis kebanyakannya adalah orang Melayu. Jadi dia tidak mahu gambaran Melayu itu walaupun ia majoriti didukung oleh orang Melayu berbanding kaum-kaum lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

 

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
3 user votes x 8.7