Bubur Lambuk sebagai simbol perpaduan

Bubur Lambuk sebagai  simbol perpaduan
Aminolhuda Hassan menyantuni peniaga di sekitar bazar Ramadhan Taman Budaya Batu Pahat Johor

Tradisi memberi bubur lambuk kepada orang ramai tetap diteruskan sebagai simbol silaturrahim dan perpaduan di antara kaum.

Menurut Exco Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, edaran bubur lambuk ini adalah budaya yang baik bagi mengakrabkan lagi hubungan sesama manusia.

Beliau yang juga merupakan Adun Parit Yaani berkata lagi, tradisi yang dilakukannya itu terus dijalankan walaupun PH telah memenangi dalam PRU yang lalu serta memerintah negeri ini.

“Dalam bulan Ramadhan ini, peluang merebut kebaikan itu perlu diraih dan di antara perkara baik tersebut adalah sentiasa memberikan sumbangan kepada orang ramai.

“Selaku pemimpin di kawasan ini memang menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan tradisi pemberian bubur lambuk kepada masyarakat di sini.

“Saya melihat ini adalah salah satu kaedah yang membuatkan kita lebih rapat antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Aminolhuda Hassan bersama-sama krewnya bergambar kenangan di program Mengedar Bubur Lambuk Dun Parit Yaani.

Selain itu menurut beliau ketika ditemui di program edaran bubur lambuk yang bertempat di Taman Budaya, Batu Pahat berkata, terdapat beberapa lokasi strategik di Dun Parit Yaani yang telah pun menjalankan program yang sama di bawah pejabat Dun beliau.

Sebelum itu, beliau turut menyumbang bantuan Hari Raya kepada sekitar 20 penerima yang memerlukan di kawasan Dun Parit Yaani.

“Selain edaran bubur kita juga mengadakan program jelajah asnaf bagi mencari seberapa ramai mereka yang tidak berkemampuan untuk diberikan sumbangan.

“Nama penerima sumbangan ini juga akan diambil bagi diberikan bantuan seterusnya kepada mereka dan inilah usaha kami selama ini,” katanya lagi.

Program yang disusun di Dun Parit Yaani itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Kelvin Koe dan wakil dari Lions Club Batu Pahat.