Budak 10 tahun kritikal gara-gara tercekik ‘gummy’ mata, belum tunjuk maklum balas

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal atau lebih dikenali sebagai ‘gummy’ berbentuk mata.

Kanak-kanak terbabit iaitu Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin dikatakan rebah selepas tercekik sekitar jam 2.30 petang semalam ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.

Gula-gula tersebut dikatakan dibeli di gerai terletak di luar kawasan sekolah berkenaan dan menurut makluman dari pihak guru, Mohamad Fahmi tercekik sebelum mahu ke tandas.

Difahamkan ketika berjalan ke arah tandas, kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum guru KAFA berkenaan mengambil keputusan untuk menghubungi ambulans dengan segera.

Ibu saudara kepada Mohamad Fahmi iaitu Siti Farhani Mohamad Fikri berkata kira-kira jam 10 pagi tadi, doktor memaklumkan Mohamad Fahmi belum menunjukkan sebarang perkembangan, lapor Berita Harian.

“Doktor beritahu sekiranya dia tidak tunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan. Kami berserah kepada Allah SWT dan serahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” jelasnya.

Terdahulu, wanita berusia 33 tahun terbabit memuat naik hantaran di laman Facebook untuk memohon doa orang ramai berhubung perkembangan anak saudaranya itu dan berjaya meraih tumpuan pengguna media sosial.

Siti Farhani menerusi hantaran itu memberitahu bahawa anak saudaranya kini berada dalam keadaan kritikal dan belum sedarkan diri selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berkenaan ketika di sekolah.

“Guru ada membuat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Mohamad Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu.

“Ketika menerima pakaian Mohamad Fahmi dari pihak hospital, kami dapati sebiji lagi gula-gula itu dalam poket bajunya,” kongsi wanita itu memetik laporan Berita Harian mengenai anak saudaranya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik HPP.

Baca juga: MPKB-BRI beri amaran, tindakan tegas buat pihak ‘jual’, sewa tapak bazar Ramadan kepada warga asing