Budak 12 tahun hiba, hadiah pakej umrah diganti dengan TV kerana tak cukup umur

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun tidak dapat menahan sebak apabila gagal mendapatkan hadiah pakej menunaikan umrah secara percuma.

Sedangkan pakej tersebut sepatutnya menjadi miliknya selepas nombor gilirannya terpilih untuk memenangi hadiah utama cabutan bertuah tersebut.

Difahamkan, kemenangan kanak-kanak yang dikenali sebagai Josh @ Rifky itu terbatal kerana belum mencapai tahap umur yang telah ditetapkan.

Lebih mengecewakan, pihak penganjur bertindak menggantikan pakej umrah tersebut dengan sebuah televisyen LED dan dispenser air.

Tindakan tersebut telah mengundang kemarahan terutamanya kepada penjaga Rifky kerana hadiah tersebut jauh lebih murah daripada pakej umrah.

Memetik laporan Kompas.com, kejadian tersebut berlaku dalam acara jalan kaki yang diadakan di Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Kejadian tersebut bermula apabila nombor giliran Rifky disebut dan diminta untuk naik ke pentas oleh pihak penganjur untuk menerima hadiah cabutan bertuah.

Apabila Rifky naik ke pentas, pengacara majlis kemudian mengumumkan bahawa kemenangan pakej umrah itu terbatal kerana kanak-kanak itu belum cukup umur.

Alasan pihak penganjur adalah kerana had umur Rifky belum layak untuk mengundi pada pilihan raya Indonesia yang bakal diadakan pada tahun 2024.

Melihat Rifky tidak berhenti menangis, pihak penganjur yang merasa bersalah kemudian menggantikan pakej tersebut dengan hadiah lain.

Tidak berpuas hati, ibu Rifky iaitu Indah Astriani tampil mempertikaikan keputusan penganjur yang terlihat seperti menganiaya kanak-kanak tidak bersalah.

“Kalau alasan anak saya masih kecil dan belum boleh mengundi, kan ada saya. Ini jelas tidak adil bagi kami. Anak saya tidak berhenti menangis. 

“Haknya dirampas. Takkan hadiah pakej umrah hanya digantikan dengan televisyen dan dispenser air,” kata Indah memetik Kompas.com.

Walaupun menerima kecaman di sosial media, pihak penganjur tegas mempertahankan keputusan mereka untuk tidak menghadiahkan pakej umrah itu kepada Rifky.

Baca juga: Pesanan pasal tak mahu curang akhirnya makan diri, netizen berjaya korek nasihat lama abang Tesla