Budak 5 tahun bawa balik Perodua Aruz, menang cabutan bertuah Sukma Sarawak 2024

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, kanak-kanak berusia lima tahun dipilih untuk membawa pulang sebuah Perodua Aruz di antara 40 ribu penonton yang hadir di dalam upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Ainul Mardhiah Hirizuan itu memenangi cabutan bertuah diadakan pada upacara pembukaan, minggu lalu sempena temasya sukan berkenaan.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Facebook, ibu kepada Ainul iaitu Nor Hapisza mengakui terkejut apabila nama anaknya dipaparkan di layar gergasi Stadium Sarawak.

Sedangkan ketika kejadian, mereka sedang menunggu persembahan dari penyanyi rock legenda iaitu Datuk Awie yang akan turut dipaparkan menerusi layar gergasi tersebut.

“Ya Allah. Syukur ke hadrat Ilahi. Rezeki Ainul Mardhiah memenangi cabutan bertuah, dapat kereta Aruz. Tak sempat nak membalas semua pesanan di Whatsapp dan Facebook. Terima kasih atas ucapan semua.

“Siapa sangka, anak tok bertuah malam tok. Niatnya nak menunggu Awie belagu (menyanyi). Sekali keluar namanya, ya Allah. Tak tidur malam ini,” tulis ibunya dalam hantaran tersebut sejurus acara pembukaan.

Perodua Aruz itu kemudian disampaikan kepada Ainul semalam oleh Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon mewakili Datu Hii Chang Kes selaku Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024.

Hadiah yang disampaikan di Pusat Jualan Perodua di Kuching itu merupakan tajaan dari Jawatankuasa Sukma Sarawak sebagai tanda penghargaan di atas sokongan padu dengan semangat perpaduan membara sepanjang temasya berlangsung.

Beberapa keping gambar merakamkan majlis penyampaian hadiah yang turut dihadiri oleh ahli keluarga Ainul Mardhiah Hirizuan itu dikongsikan di akaun Facebook milik Sarawak Edition.

Terdahulu, Sarawak yang juga tuan rumah Sukma 2024 mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan kelebihan sebutir emas mengatasi Wilayah Persekutuan dalam temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Kejayaan ini merupakan kali keempat selepas muncul juara edisi 1990, 1992 dan 1994 dengan mengumpul keseluruhan 76 pingat emas, 55 perak serta 70 gangsa.

Baca juga: Tular rakaman dashcam penunggang motosikal terpelanting terkena tayar lori ‘terbang’