Malaysia Dateline

‘Budak’ Bersatu ditahan berfoya-foya?

Anggota sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Tambun didakwa ditahan pihak penguatkuasa baru-baru ini.

Dua keping gambar dipercayai dirakam di sebuah pusat karaoke tular di media sosial dengan turut kelihatan wanita dan botol minuman keras.

“Tengah darurat boleh sibuk parti, hebat! Dengar cerita budak Parti Bunga Tambun, betul ke?” soal Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Twitter, Adzman Kamaruddin.

Untuk rekod, Bersatu Bahagian Tambun diketuai bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menang tanpa bertanding jawatan pada tahun lalu.

Setakat Januari 2020, Bersatu Perak dilapor mempunyai 277 cawangan daripada 24 bahagian yang melibatkan keahlian kira-kira 28,548 orang.

Sejak pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, sektor hiburan membabitkan kelab malam, pub dan pusat karaoke masih berada dalam senarai larangan beroperasi.

Walau bagaimanapun rekod harian individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) menyaksikan sebahagiannya terbabit dalam aktiviti pusat hiburan.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 951 premis pusat hiburan termasuk pub dan kelab malam diserbu, 9,587 kompaun dikeluarkan dan 4,666 tangkapan dilakukan dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Januari lalu.