Budak lelaki 13 tahun trauma dicabul, tumpang motosikal suspek lepas beli nasi lemak

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dilaporkan mengalami gangguan seksual selepas membonceng motosikal suspek dipercayai individu tidak dikenali.

Malang tidak berbau, kejadian mencemaskan itu bermula apabila remaja berkenaan didatangi oleh suspek ketika berjalan kaki bersendirian selepas membeli nasi lemak.

Setelah menerima ajakan suspek untuk menaiki motosikal, mangsa malah dibawa ke rumah sewa lelaki berkenaan dalam jarak lebih kurang 700 meter dari kediamannya.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Batu Caves, suspek telah bertindak mencabul mangsa sebelum kanak-kanak bawah umur itu berjaya melarikan dirinya.

Kejadian disahkan oleh Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir menerusi kenyataan di akaun Facebook milik Polis Daerah Gombak.

“Mangsa telah dicabul di bahagian kemaluan selepas suspek bertindak membuka seluarnya. Mangsa melarikan diri setelah suspek memberi wang tunai bernilai RM20.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian tersebut kepada ibu bapanya. Sejurus itu, kanak-kanak tersebut dibawa ke balai untuk membuat laporan polis,” kata Noor Ariffin.

Bertindak atas laporan, pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak akhirnya berhasil menangkap suspek berkenaan kira-kira pada pukul 1.50 pagi, Ahad lalu.

Kes disiasat mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak dan lelaki berusia 41 tahun itu ditahan reman selama enam hari hingga 12 Januari ini.

“Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat atau IPD Gombak.” Ulasnya.

Diharapkan, ibu bapa dapat mengambil pengajaran daripada kejadian ini dan menasihati anak-anak untuk tidak menumpang kenderaan individu tidak dikenali.

Baca juga: “Dia suami dan bapa yang baik” – Tom kesal lihat ramai tak berhenti kritik Fuad Rahman