Penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim akhirnya mengakui remaja yang didakwa di mahkamah tahun lalu kerana mencabul sepupu perempuannya adalah cucunya.
Jelas penyanyi berusia 64 tahun itu, kedua-dua cucunya iaitu tertuduh dan mangsa sebenarnya menjalin hubungan cinta sebelum isu menjadi besar akibat hasutan luar.
Tanpa memperincikan kejadian sebenar, Khadijah menyifatkan isu tersebut sebagai masalah kecil yang boleh diselesaikan secara baik tanpa membabitkan pihak luar.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Khadijah menerusi sesi temu bual eksklusif bersama Melodi disiarkan pada Ahad lalu yang turut dimuat naik di platform TikTok.
“Budak-budak muda bercinta. Dua-dua cucu saya! Tak akan satu nak suruh masuk penjara dan seorang lagi pula dimasukkan ke pusat pemulihan? Tak boleh. Masalah itu senang sahaja bagi saya.
“Mereka yang cipta. Jadi mereka yang perlu selesaikan sendiri. Bagi saya, ini hanya masalah kecil, antara dua orang yang bercinta. Saya sudah siasat apa yang terjadi. Tetapi itu antara saya dan mereka.
“Perkara ini terjadi pun disebabkan hasutan orang luar. Kadang-kadang mereka tak dapat berfikir dengan baik,” jelas penyanyi yang mula meraih populariti menerusi lagu Kupendam Sebuah Duka itu.
Dalam temu bual itu, Khadijah juga menegaskan bahawa dirinya tidak menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.
Khadijah yang pernah berlakon dalam beberapa filem termasuklah Mr Cinderella itu juga tidak begitu terkilan jika terkena tempias akibat perbuatan kedua-dua cucunya.
“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana mereka berdua cucu yang saya sayangi. Perkara ini bukanlah sesuatu yang tragis. Ini perkara domestik di antara dua orang bercinta.
“Sebabnya, antara sepupu pun boleh jatuh cinta juga. Saya tak kisah (jika terkena tempias) sebab kita semua ada anak dan cucu. Kita perlu mengendalikan masalah dengan baik.
“Saya percaya Allah telah aturkan semua ini. Jadinya, saya tenang saja,” kata penyanyi yang lebih mesra disapa dengan gelaran ibu Khaty itu.
Terdahulu, seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Disember 2023 di atas pertuduhan mencabul kehormatan sepupu perempuannya yang berusia 17 tahun.
Tertuduh yang juga juga berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupunya di sebuah kediaman di Jalan Gasing, Petaling Jaya pukul 3 pagi pada 15 Oktober 2023.
Sementara itu, Khadijah memaklumkan telah menasihati anak-anaknya untuk kekal positif dengan ujian dilalui mereka malah, hubungan antara kedua buah keluarga juga masih lagi rapat selepas insiden berlaku.
Baca juga: Pernah popular drama ‘7 Hari Mencintaiku’, Faye Kusairi rupanya dah mula berniaga di tepi jalan