Malaysia Dateline

Budak retak di paha tercampak dari ketinggian 15 meter

Seorang kanak-kanak tercampak dari ketinggian antara 10 hingga 15 meter selepas kereta dipandu bapanya terbabas di kilometer 0.4 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Budak berusia lapan tahun itu tercampak sebelum terjatuh dari jejambat berdekatan Jalan Tun Razak, Jumaat, 27 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, kenderaan itu terbabas akibat hujan lebat sebelum melanggar tembok kiri jejambat berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga penumpang belakang tercampak dari cermin sisi belakang kanan dan jatuh ke bawah dari jejambat berkenaan,” katanya.

Zulkifly berkata, mangsa tercampak lalu jatuh di kawasan parkir sebuah pusat jualan kereta terpakai di Jalan Pahang.

“Mangsa mengalami kecederaan retak di paha kiri sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan kes sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” jelas Zulkifly lagi.