Malaysia Dateline

Budaya fitnah boleh bunuh tokoh berpotensi, kata penyelidik

Tidak semua masyarakat yang terdiri dari pengguna matang di media sosial mempercayai penyebaran fitnah murahan oleh individu yang menggunakan politik kotor dan tidak bertanggungjawab.

Melihat isu penyebaran video intim seorang individu yang menyerupai menteri kabinet yang tersebar di internet baru-baru ini, tentunya ia memberi kesan kepada sesiapa sahaja apatah lagi setelah diangkat sebagai seorang pemimpin.

Menurut Ketua Unit Kaunseling UPSI, Dr Fauziah Mohd Saad, budaya fitnah yang semakin berleluasa cenderung untuk memberi kesan buruk kepada psikologi seseorang seperti malu sehingga memberi tekanan kepadanya.

Katanya, jika mangsa mendapat sokongan baik dari kumpulan sekeliling seperti keadaan di mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih mendapat kepercayaan Perdana Menteri terutamanya, ia pasti dapat membina daya tahan individu yang tinggi.

“Budaya fitnah bukan sahaja menjejaskan mangsa, bahkan keluarga mangsa juga. Mungkin sebagai pemimpin, beliau telah bersedia dari aspek psikologi terutama dalam asam garam politik, tetapi kasihan keluarga yang tak bersalah juga terlibat.

“Faktor yang mendorong masyarakat kita untuk menyebarkan fitnah dan berita palsu ini pula bergantung kepada kecenderungan individu tersebut. Kalau yang membaca atau melihat itu parti pembangkang, tentulah mereka akan menggembar-gemburkan sesuatu isu demi kepentingan sendiri.

“Sekarang ini menjadi trend di mana kekuatan media massa begitu cepat menyebarkan berita. Namun, kita ada pengguna matang dan juga tidak matang. Tidak semua sebenarnya menerima bulat-bulat berita tersebut terutama menyedari akan jasa pemimpin itu kepada negara,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian yang mengulas tentang penyebaran video seorang menteri kabinet, dan bagaimana penyebaran tersebut akhirnya boleh memberi kesan dalaman dan kepada imej individu tersebut.

Tambah Dr Fauziah, liputan media massa kadangkala memberi publisiti positif untuk individu yang terpalit untuk melonjakkan nama.

“Pengguna yang intelektual akan sedar betapa terdesaknya lawan yang cuba menjatuhkan seorang pemimpin. Ini menunjukkan pemimpin itu seorang yang hebat dan ada orang sememangnya tergugat dengan beliau. Masyarakat semakin bijak menilai dan fitnah murahan ini takkan kemana,” tambahnya.

Selain itu, beliau menyifatkan penyebaran video tersebut hanya akan menyebabkan negara kehilangan pemimpin yang berpotensi.

“Parti lawan atau orang perseorangan perlulah sedar isu seperti ini hanya akan memasukkan orang dalam penjara. Memalukan orang adalah tidak bermoral dan boleh menjatuhkan nama negara menyebabkan kita akan kehilangan tokoh yang berpontensi untuk membangunkan negara.

“Seseorang tidak bersalah sehingga dia dibuktikan kesalahannya. Untuk Azmin, kalau beliau boleh bangkit dan menerima secara positif isu ini, maka beliau seorang hebat dan perlu diangkat sebagai pemimpin

“Kerana itu, kita ada undang-undang Islam yang membendung budaya fitnah memfitnah dari terus diamalkan. Dasar Islam mudah..seseorang yang menuduh perlu datangkan dengan bukti..Yang dituduh pula perlu bersumpah penafian,”ujarnya.