Malaysia Dateline

Budaya Islam akan terus diperkasakan di Negeri Johor, kata Exco

Pembudayaan Islam di kalangan masyarakat di negeri Johor akan terus diperkasakan malah ianya akan ditambah baik dari masa ke semasa.

Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu adalah menjadi matlamat bagi meneruskan perkara yang baik.

Katanya, penerapan nilai murni di kalangan masyarakat adalah salah satu visi Kerajaan Negeri Johor bagi memupuk masyarakat yang berakhlak mulia.

“Saya menafikan ada dakwaan sebelum ini yang menyatakan kita telah menghentikan program-program pembudayaan Islam seperti program fardhu ain.

“Ia adalah dakwaan yang berniat jahat untuk memberi impak negatif kepada pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

“Sebagai contoh, program-program zikir, yassin, khatam Al-Quran dan juga pemerkasaan institusi pendidikan Islam terus dibangunkan,” jelas beliau ketika dihubungi.

Aminolhuda sebelum itu telah merasmikan program Zikir Perdana Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Batu Pahat yang membabitkan pelbagai lapisan masyarakat Islam.

Dalam pada masa yang sama, Aminolhuda turut menegaskan bahawa perancangan pembinaan Universiti Johor turut melibatkan institusi Islam seperti Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah).

“Selain itu, kita juga bergerak dan memacu negeri ini dengan membawa pendidikan Islam selari dengan peredaran zaman sepertimana pembabitan Islam dalam universiti yang akan dibangunkan.

“Sebelum ini tahap pendidikan sekolah agama tidak mampu ke pusat pengajian tinggi selain kolej-kolej yang terhad namun di bawah pemerintahan kerajaan PH pembangunan ini telah dirangka untuk mengiktiraf sijil Sekolah Khas Agama ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Johor bersungguh untuk membangunkan Islam sebagai matlamat dalam visi pemerintahan kita hari ini,” ujarnya.