Malaysia Dateline

Budaya menyimpan untuk pendidikan

Ada satu bangsa tu yang memang membesarkan pendidikan anak-anak mereka. Sebelum lahir lagi ibubapa sudah memikirkan ke mana anak mereka mahu dihantar belajar dan bagaimana ianya akan dibiayai.

Walaupun anak masih kecil, ibubapa sudah mula menyimpan wang supaya apabila sampai masanya, mereka mampu membiayai pendidikan anak mereka. Tak kiralah mereka penjual sayur ke, pekerja kedai kopi ke, pendidikan anak-anak adalah jalan keluar dari kemiskinan.

Saya pernah bertemu dengan seorang peguam yang mendapat pendidikan di United Kingdom. Dia datang dari Rantau Panjang, yang bersempadan dengan Siam. Dia bagi tahu saya ibunya menjadi “ore bujē” di Golok untuk membiayai pendidikannya.

Mungkin bagi kita itu satu perkara yang hina tetapi ianya menggambarkan bagaimana mereka meletakkan pendidikan sebagai perkara besar dan tidak berharap-harap kepada orang lain untuk mendapatkan pembiayaan.

Bila saya seorang rakan saya berkenaan wang KWSP yang boleh dikeluarkan apabila mencapai umur 50, perkara yang paling tinggi di dalam senarainya ialah pendidikan tinggi anak-anaknya.

Semasa saya belajar di Australia, ramai kenalan saya yang belajar dengan tanggungan ibubapa melakukan 2, 3 kerja sambilan di dalam satu masa untuk menampung kos mereka.

Di dalam masa yang sama, ada kawan-kawan saya yang mendapat biasiswa menggunakan duit buku mereka untuk membeli pemain kaset dan pendahuluan biasiswa untuk 3 bulan bagi membeli kereta.

Pagi tadi saya mendengar seorang Ustaz membahaskan ayat Al Quran berkenaan doa dan dia menginggatkan berkenaan makbulnya doa orang yang dizalimi.

Ini mengingatkan saya berkenaan topik ini.