Budaya pembaziran projek berterusan di Terengganu

Budaya pembaziran projek berterusan di Terengganu

ULASAN : Setelah Kerajaan Terengganu mengumumkan tahun lepas yang Taman Ilmu di Besut telah mula beroperasi, ramai pihak mula bertanya Universiti mana kah yang sudah membuka kampus mereka di sana.

Kalau sesebuah Universiti atau Kolej telah memulakan “operasi”, mereka sudah tentu mengadakan publisiti secara meluas untuk mencari pelajar, pensyarah dan juga pekerja.

Apa yang umum ketahui adalah hanya dua blok asrama telah di gunakan oleh pelajar daripada Universiti berdekatan yang sudah beroperasi, iaitu dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) yang mempunyai kampusnya sendiri.

Ianya hanyalah sekadar menyewa tempat tinggal tanpa aktiviti akademik lain dan tidak lebih dari itu. Ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan setelah projek terbiar selama lebih sepuluh tahun.

Pengumuman kerajaan seolah-olah Taman Ilmu, yang menelan kos lebih dari RM320 juta itu, telah beroperasi dengan Universitinya sendiri telah mengecewakan banyak pihak terutamanya masyarakat tempatan dan golongan muda. Projek ini telah memberi harapan tinggi kepada rakyat Terengganu tetapi malangnya ia masih tinggal sebagai janji yang masih belum di tepati.

Yang amat mengecewakan lagi Taman Ilmu masih terbengkalai semasa “Che Gu” Razif yang mempunyai latar belakang pendidikan menjadi Menteri Besar. Sepatutnya dengan pengalaman beliau dan “network” rakan-rakan beliau dari bidang pendidikan, Taman Ilmu sepatutnya boleh dijadikan projek pendidikan contoh.

Malangnya ia terus terbengkalai dan gagal di hidupkan sebagai pusat pengajaran tinggi cemerlang.

Malangnya menteri besar juga tidak menggunakan pengaruhnya di peringkat Pusat terutamanya dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Idris Jusoh, seorang menteri dari Terengganu untuk memulihkan Taman Ilmu.

Idris adalah pengasas asal Taman Ilmu semasa beliau menjadi Menteri Besar tetapi malangnya projek ini telah di abaikan oleh dua Menteri Besar berikutnya – Datuk Ahmad Said dan juga Datuk Abdul Razif Abdul Rahman.

Hari ini rakyat Terengganu, khususnya anak muda amat kecewa dengan pembaziran yang berlaku dengan wang negeri Terengganu. Dalam masa wang biasiswa dan pinjaman pelajaran di potong, pembaziran beratus juta sedang berlaku.

Untuk berpuluh tahun anak-anak Terengganu muncul pelajar cemerlang keputusan UPSR untuk seluruh Malaysia. Malangnya mereka tidak di jaga dan dipantau olih pihak kerajaan untuk pulang berbakti dan berkerja di Terengganu. Peluang perkerjaan dan perniagaan di Terengganu amat terhad.

Kajian yang disiarkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini juga menunjukkan Terengganu melahirkan ramai “genius” tetapi malangnya kerajaan Terengganu tidak memanafaatkan sepenuhnya kepintaran minda dan kebolihan mereka.

Ini menunjukkan Terengganu sangat banyak membazirkan asset dan potensi semula jadi yang ujud di negeri ini. Baik asset murid pintar atau pun rezeki melimpah ruah dari wang hasil minyak dan gas, di sia siakan serta di bazirkan begitu sahaja.

Kerana itulah ramai anak muda Terengganu melahirkan kekecewaan mereka tentang pembaziran yang terus berlaku dengan projek projek seperti Taman Ilmu . Kenapakah sikap ini berterusan dengan pemimpin pemimpin di negeri yang begitu kaya dengan berbagai asset semula jadi.

Inilah nasib malang yang terus menimpa Terengganu Darul Iman.

 

*Penulis adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS