Budaya politik naungan satu cabaran kepada parti pemerintah

Budaya politik naungan satu cabaran kepada parti pemerintah

Ketika menyampaikan Pidato Presiden di dalam Konvensyen Amanah yang pertama di Shah Alam pada tahun 2016, Presiden Amanah ada menyebut tentang ‘patronage politics’ atau politik naungan.

Katanya, amalan ‘patronage politics’ adalah antara punca besar kerosakan sistem politik di Malaysia.

Patronage politics bermula dengan sekelompok aktivis dan pemodal yang membantu dan membiayai seorang atau sekelompok pemimpin politik untuk berkuasa.

Apabila telah berkuasa, pemimpin politik tersebut terpaksa menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk membalas budi dan pengorbanan orang-orang yang selama ini membantunya.

Ini dibuat bagi memastikan seseorang pemimpin itu kekal berkuasa.

Apa yang berlaku selama ini, kekayaan negara ditarah secara tidak bertanggungjawab di dalam kitaran patronage politics ini.

Projek-projek diagih secara tidak bertanggungjawab. Orang-orang tertentu dilantik memegang jawatan tanpa memenuhi merit dan kelayakan. Wang sogokan menjadi budaya dan rasuah menjadi tidak terkawal. Akhirnya kekayaan negara habis disedut masuk ke dalam kitaran patronage politics yang semakin hari semakin membesar.

Tanpa kawalan, perkara ini boleh menjerumuskan negara ke arah menjadi ‘failed states’

Semuanya bermula dengan amalan ‘patronage politics’. Pemimpin mahu menjaga hati penyokong dan penyokong menagih balasan pengorbanan mereka.

Bagi saya, tidak ada salahnya para pemimpin politik membalas pengorbanan ahli-ahli dan penyokong mereka dan tentu saja itulah juga harapan para aktivis yang telah berkorban untuk kemenangan pemimpin mereka.

Tetapi, semua itu mestilah hanya boleh berlaku di dalam kerangka tadbir urus yang baik dan amalan berintegriti. Pasti ada beberapa ruang dan kekangan yang mesti diraikan oleh semua pihak.

Adakala terdapat perbezaan kefahaman dan komunikasi yang tidak seiring dalam isu ini di kalangan pimpinan dan aktivis parti sehingga menimbulkan salah faham dan konflik. Malah boleh membengkak menjadi sindiran dan kecaman yang boleh merosakkan hubungan.

Saya kira perkara ini perlu diurus.Kita pastinya tidak mahu kembali kepada amalan patronage politics seperti mana amalan zaman BN sebelum ini. Kalau itu berlaku, kita sebenarnya gagal dan perjuangan kita tiada makna.

Tetapi membiarkan rakan-rakan Jho Low terus meratah kekayaan negara serta membiarkan aktivis yang mendokong kita hidup kelaparan pastinya akan melukakan banyak perasaan.

Topik ini memang agak sukar untuk dihurai secara tuntas kerana untuk membongkar amalan dan budaya politik yang sudah berakar begitu lama memakan masa.

Harapan saya, sama-samalah kita berusaha dan bersabar. Semoga Allah merahmati perjuangan ini..

Penulis adalah Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor.