Malaysia Dateline

Budaya takfiri cemar imej Islam, harus dihentikan, kata Mohamad

Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang serius budaya mengkafirkan sesama umat Islam atau dikenali sebagai budaya takfiri yang semakin menular dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, jika budaya takfiri ini tidak dihentikan segera boleh mencemarkan imej Islam.

“AMANAH berpandangan budaya Takfiri ini jika tidak dihentikan dengan segera, boleh mencemarkan imej Islam sekaligus memusnahkan keharmonian Malaysia seperti apa yang berlaku kepada negara Timur Tengah khususnya di Iraq dan Syria.

“Dengan kata lain, ia juga boleh menyemai sikap dan pemikiran melampau sehingga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Justeru kata Mohamad yang juga Menteri Pertahanan itu, menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mengekang budaya tidak sihat dan bercanggah dengan ajaran agama ini, di samping melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan, agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau mengulas mengenai dua laporan polis yang dibuat oleh AMANAH Wilayah Persekutuan dan Terengganu mengenai seorang pemilik akaun facebook yang telah membuat naik satu status yang menyasarkan kepada Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Muhajahid Yusuf Rawa.

Dakwaan pemilik facebook tersebut kononnya ” Menteri Agama berjiwa kafir”.