Malaysia Dateline

Buka dulu sekolah luar bandar, kawasan lebihi had imuniti kelompok

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyarankan agar langkah membuka semula sekolah dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang muridnya kurang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini kemudiannya disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau.

Selepas itu, katanya, sekolah di kawasan dengan kadar penerima vaksin melebihi had imuniti kelompok pula dibuka kembali.

“Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini,” tegasnya dipetik dari artikelnya hari ini.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada 17 Julai lalu, berkata sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini.

Sehubungan itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata, jadual persekolahan bergilir-gilir juga perlu dilaksanakan selain daripada protokol kesihatan yang ketat bagi sekolah-sekolah yang padat demi mengelakkan insiden kluster sekolah berulang sekali lagi.

“Sebagai contoh, bagi sekolah rendah tahap satu ialah pada Isnin dan Rabu, manakala tahap dua pada Selasa dan Khamis.

“Bagi sekolah menengah pula tingkatan satu dan dua pada Isnin dan Rabu, tingkatan tiga dan empat pada Selasa dan Khamis, atau apa yang terbaik menurut pertimbangan pihak sekolah demi mengurangkan bilangan pelajar dalam sekolah setiap hari,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berpendapat sesi persekolahan bagi calon SPM dan STPM tidak diganggu.

Setakat 16 Julai lalu, seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.