Buka kembali siasatan 1MDB, lantik PM sementara, Pemuda Amanah gesa Agong

Buka kembali siasatan 1MDB, lantik PM sementara, Pemuda Amanah gesa Agong

Pemuda Amanah Nasional menggesa supaya Yang Di-Pertuan  Agong dapat menitahkan Peguam Negara kembali melakukan siasatan berhubung skandal 1 Malaysia Developtment Berhad (1MDB).

Ketuanya, Sany Hamzan berkata, baginda sebagai pemerintah bagi Persekutuan dapat menitahkan Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan dan melantik seorang Perdana Menteri sementara sehingga pilihanraya umum yang akan datang.

Ujarnya, tindakan yang selaras mengikut peruntukan Perkara 40 (2) (a) dan 43 (2) (a) itu wajar memandangkan Perdana Menteri turut terkait secara langsung dalam skandal tersebut.

Beliau memberitahu pihaknya memandang serius keputusan Peguam Negara dan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk merampas harta bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dipercayai dibeli menggunakan duit yang dicuri dari 1MDB.

“Lebih menyedihkan, dalam laporan setebal 136 muka surat berkenaan hasil siasatan terhadap skandal itu, pihak DoJ juga telah mendedahkan bahawa ‘Malaysian Official 1’ adalah pihak yang dipercayai sebagai pemegang akaun AmPrivate Banking-MR dengan menerima sebahagian pembayaran dianggarkan berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion).

“Laporan DOJ tersebut seterusnya mendefinasikan ‘Malaysian Official 1’ tersebut sebagai seorang penjawat awam atau pegawai tinggi kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan berautoriti dalam 1MDB,” ujarnya dipetik daripada memorandum itu.

Pemuda Amanah diketuai Sany Hamzan dibenarkan masukMenurut Sany, skandal 1MDB membabitkan penyelewengan lebih AS$3.5 bilion itu merupakan skandal kewangan terburuk dunia dan mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa apabila siasatan turut dijalankan di Singapura, Switzerland dan Hong Kong setakat ini.

“Lebih malang lagi, Peguam Negara masih lagi membisu daripada mengambil tindakan yang sewajarnya malah masih mengatakan perlu bukti untuk diambil tindakan lanjut walaupun terdapat bukti-bukti yang kukuh mengaitkan skandal 1MDB dengan Perdana Menteri.

“Pemuda Amanah Nasional amat kecewa dengan keengganan Peguam Negara untuk bertindak dalam isu atau kes yang secara jelas telah membelakangi kepentingan negara dan rakyat walaupun dapatannya sebelum ini sama sekali bercanggah,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambahnya lagi, Peguam Negara harus mengarahkan pembukaan semula kertas siasatan yang diarahkan ditutup sebelum ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, memorandum yang mengandungi lima halaman itu diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Istana, Mohd Husni Yusof pagi tadi.