Malaysia Dateline

Buka kertas siasatan terhadap dakwaan jatuhkan KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu mengarahkan agar laporan polis dibuat terhadap sekumpulan pegawai muda di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa mahu menjatuhkan beliau.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, ianya adalah tuduhan serius yang mempengaruhi integriti pasukan polis dan akan memusnahkan asas kepercayaan masyarakat.

“Walaupun saya memuji IGP kerana mendedahkan masalah ini dan seruannya untuk membersihkan pasukan polis, tindakannya harus sesuai dengan kata-katanya.

“Pada fikiran saya, siasatan dalaman sahaja tidak akan mencukupi untuk mengatasi masalah ini.

“Tuduhan seperti ini menuntut penyiasatan terbuka dan telus. Jika dapat dibuktikan bahawa kesalahan telah dilakukan, maka mereka yang terlibat akan menghadapi akibat undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Gobind berkata, pegawai Polis tidak kira seberapa tinggi pangkat mereka, tidak akan berada di atas undang-undang.

Beliau menggesa agar Hamid menggerakkan penyiasatan penuh terhadap dakwaannya dan membiarkan undang-undang yang mengambil alih.