Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memberi kata dua kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuka Parlimen sekiranya mereka berkeras enggan melaksanakan undi 18 seperti yang dituntut ramai pihak ketika ini.
Beliau berkata, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dipanggil ke Dewan Rakyat dan memberi penjelasan sebenar kepada semua Ahli Parlimen berhubung keputusan badan itu menangguhkan pelaksanaan undi 18 tahun.
Menurutnya, sama sekali tiada alasan kukuh untuk menangguhkan pindaan had kelayakan mengundi kerana kerajaan mempunyai kuasa darurat dan semua keupayaan untuk menguatkuasakan pindaan berkenaan.
“Kalau kerajaan enggan melaksanakan undi 18 dalam keadaan dia mempunyai kuasa darurat, saya minta mereka buka balik Parlimen.
“Biarkan kami tampil ke Parlimen untuk jemput Pengerusi SPR dan minta beliau jelaskan kepada semua Ahli Parlimen kenapa beliau ingin menangguhkannya. Walhal semua Ahli Dewan Rakyat telah bersetuju untuk melaksanakan (undi18),” katanya dalam siaran langsung Malaysia Dateline sebentar tadi.
Fahmi Fadzil antara yang hadir di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk bersolidariti selepas beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pemuda PH diarahkan untuk hadir memberi keterangan.
Terdahulu, Pemuda PH bersama beberapa kumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan mengadakan satu Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen susulan keputusan SPR menangguhkan pelaksanaan undi 18.
Ekoran itu, polis telah memanggil penganjur dan peserta himpunan tersebut untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis; dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021.