Malaysia Dateline

Buka Parlimen segera, tidak usah beri alasan bukan-bukan

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Maka ramailah ahli politik yang tidak setuju Parlimen dibuka segera, atas alasan-alasan seperti:

1) Negara sedang sibuk lawan Covid-19. PM dan Menteri-Menteri tiada masa untuk bertekak di Parlimen. Kerajaan sedang fokus untuk melawan virus. Tunggu imuniti kelompok (herd immunity) tercapai terlebih dahulu, baru kita buka Parlimen, orait?

2) Kalau buka Parlimen pun, nanti MP pembangkang sibuk nak buat usul undi tidak percaya kepada PM. Negara kan tengah sibuk lawan Covid-19. Rakyat tiada masa nak layan drama pertukaran pucuk pemerintahan sekali lagi, faham tak?

3) Ahli politik yang tengah enak pegang jawatan di kerusi empuk, tentulah tidak mahu darurat ditamatkan segera. Agaknya selepas Parlimen dibuka, nanti PRU pun diadakan cepat-cepat. Habislah semua jawatan kena serah balik. Hilanglah semua gaji dan elaun. Uwaaa…

4) Rakyat tidak mahu PRU sekarang. Ambil iktibar dari PRN Sabah. Habis Covid-19 merebak ke seluruh negara selepas pilihan raya hari September tahun lalu.

Saya rasa kekeliruan besar yang dihadapi oleh majoriti rakyat ialah, kita ingat darurat mesti ditamatkan terlebih dahulu in order untuk buka Parlimen. Sebenarnya pendapat tersebut adalah SALAH.

Dengan perintah YDPA, Parlimen boleh dibuka, walaupun semasa tempoh darurat sedang berkuatkuasa.

Dan saya rasa majoriti rakyat ingat, kalau Parlimen dibuka, mesti tidak lama lagi wajib diadakan PRU. Sebenarnya pendapat tersebut juga adalah SALAH.

Tempoh matang Parlimen Malaysia ialah pada bulan Mei tahun 2023. Sekarang baru tahun 2021.

Mungkin juga majoriti rakyat ingat, kalau Parlimen dibuka, mesti kerajaan Mahiaddin akan tumbang selepas usul undi tidak percaya. Sebenarnya pendapat tersebut pun adalah SALAH.

Usul undi tidak percaya bukannya mudah nak dibawa ke Parlimen. Kalaupun diusulkan pada masa pandemik begini, usul tersebut boleh ditolak oleh Speaker.

Jadi, kenapa takut sangat kalau Parlimen dibuka segera? Nak bersidang minggu depan pun, harus tiada masalah.

Selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan oleh YDPA pada 11 Januari lalu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah diperkenalkan.

Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat ini jelas menyatakan bahawa :-

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA”.

Ia bermaksud, YDPA boleh panggil Parlimen bersidang, WALAUPUN SEMASA tempoh darurat, atau WALAUPUN DARURAT HENDAK DISAMBUNG selepas 1 Ogos 2021 kelak.

Tiada apa yang boleh menghalang YDPA jika pada hemat YDPA, Parlimen kena bersidang sekarang.

Mungkin ada yang akan bagi alasan lain pula. Bahaya kalau berkumpul ramai-ramai dalam Parlimen tu. Nanti wujud Kluster Parlimen pulak.

Lepas itu MP-MP balik ke kawasan masing-masing, jadi super spreader Covid-19 kepada rakyat setempat. Sanggup, sanggup?

Alahai, sekarang ‘kan tengah darurat beb.

Seksyen 16 Ordinan Darurat sebut:

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, YDPA boleh membuat peraturan-peraturan sebagaimana yang perlu atau suai manfaat bagi maksud melaksanakan peruntukan Ordinan ini.”

Manakala Seksyen 17 Ordinan Darurat pulak kata :-

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini ADALAH TAMBAHAN kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.”

Maksudnya, YDPA boleh saja nak buat undang-undang dan peraturan yang bersesuaian agar Parlimen dapat bersidang semasa darurat dan memainkan fungsi semak dan imbang sebagai badan legislatif negara.

Kesimpulannya, tolonglah buka Parlimen segera. Tidak usah beri alasan bukan-bukan.

*ASIAH ABD JALIL merupakan pengamal undang-undang