Malaysia Dateline

Buka pintu kepada parti lain tanpa hilang sokongan asas

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menegaskan penjajaran baharu politik bagi blok pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak harus menjejaskan sokongan teras sedia ada.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, mana-mana parti yang ingin bekerjasama perlu bersetuju dengan agenda dan hala tuju blok yang dianggotai PKR, AMANAH dan DAP itu.

“Di peringkat PH, kita kekal saling bekerjasama dengan erat. Dalam masa sama, kita membuka pintu kepada mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan kita.

“Asalkan mereka kena bersetuju dengan agenda PH. Jangan nanti mahu kerjasama tetapi sebahagian sahaja terima (agenda PH).

“Contohnya, Pas ajak AMANAH masuk dalam PN (Perikatan Nasional) tetapi suruh AMANAH keluar dari PH.

“Padahal, Pas sendiri tiada ketetapan sama ada hendak ke BN atau PN. Kita tidaklah mahu syarat-syarat sebegitu,” ujarnya dalam temubual di pejabat Malaysia Dateline petang tadi.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, jalinan kerjasama dengan parti-parti lain berdasarkan terma ditetapkan PH penting agar insiden pengkhianatan tahun lalu tidak berulang.

“Kita sudah ‘terkena’ dengan siri-siri pengkhianatan yang akhirnya menyebabkan kerajaan PH jatuh.

“Kita tidak mahu lagi siri pengkhianatan ini dilakukan oleh orang yang sejak daripada awal lagi sebenarnya tidak bersetuju dengan kita. Itu yang akan jadi masalah besar kepada kita.

“Antara yang telah mengkhianati kita pun adalah Azmin Ali dan rakan-rakannya yang sejak awal bekerja dengan kita, malah dia dulu Timbalan Presiden PKR.

“Walaupun dia yang menyebut soal reformasi, akhirnya khianat tetapi kita tahu bukan dia seorang buat kerja khianat. Dia pun bersekongkol dengan Muhyiddin dan Hamzah,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Shazni, elemen-elemen tersebut sentiasa diambil kira dalam menyusun kerjasama politik menjelang PRU15 dengan PH perlu terus menjadi teras blok pembangkang.