Malaysia Dateline

Buka segera Parlimen: Kit Siang gesa Takiyuddin usah keras kepala, jadi batu penghalang

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin susulan saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah semalam.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak harus degil untuk berbuat demikian selepas Seri Paduka memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

“Saya justeru mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan selama satu tahun, yang boleh dilanjutkan kepada dua tahun, bagi membolehkan negara fokus kepada usaha untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 dan memastikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tidak melebihi paras 5,000 kes.

“Saya mengulangi gesaan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan untuk tidak bersikap keras kepala atau menjadi batu penghalang dengan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mengadakan sidang Parlimen dan DUN sebelum 1 Ogos 2021 kerana ini adalah hasrat jelas yang datang daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri,” tegasnya.

Menerusi kenyataan hari ini, Kit Siang juga menyifatkan pendirian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang mempertahankan garis masa yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen adalah satu perkara yang amat malang dan mengecewakan.

“Saya menggesa supaya diadakan mesyuarat Kabinet tergempar bagi membincangkan mengenai keputusan yang dibuat hasil daripada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam supaya Parlimen dapat mematuhi Perintah Tetap Dewan Rakyat dan bersidang pada hari Isnin, 19 Julai 2021,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga berpendapat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu dibenarkan berfungsi dengan berkesan serta perlunya pembaharuan dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk berjaya memerangi Covid-19.

“Rakyat Malaysia tidak ingin melihat krisis perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk, tetapi mahu setiap rakyat Malaysia, termasuk yang berjawatan dalam Eksekutif dan Badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kit Siang menyeru agar saranan perlunya Parlimen serta Dewan Undangan Negeri bersidang secepat mungkin dan bahawa tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, menjadi asas kepada “mentaliti perang” untuk berjaya membantera penularan pandemik.

“Marilah kita mengetepikan sebarang perbezaan yang timbul di antara kita, sama ada dari segi pegangan politik atau sebagainya, untuk sepenuh hati memenangi peperangan melawan wabak Covid-19,” tambahnya lagi.