Malaysia Dateline

Buka sempadan, khidmat pembantu rumah perlu dibenar masuk ke Malaysia 

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan Persekutuan untuk membenarkan kemasukan pembantu rumah ke Malaysia untuk memudahkan urusan rakyat Malaysia yang sudah mula bekerja di luar.

Beliau berkata, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, dianggarkan sekitar 20,000 keluarga masih menunggu sempadan dibuka semula untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah yang baharu.

Bagaimanapun katanya, ketika itu sempadan masih ditutup dan sekarang kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membuka semula sektor ini bagi memudahkan mereka yang memerlukan khidmat pembantu rumah.

“Saya menggesa kerajaan membantu para majikan dengan membenarkan pembantu rumah yang baharu memasuki Malaysia dengan selamat tertakluk kepada status vaksinasi mereka, ujian saringan dan arahan kuarantin.

“Menyelesaikan isu MOU yang tertunggak dengan negara terbabit; dan

“Menyediakan sistem permohonan yang lebih pantas untuk mengurangkan masa menunggu yang lama bagi mendapatkan pembantu rumah yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Hannah menambah, banyak kontrak untuk pembantu rumah tamat dalam tempoh ini dan ramai majikan tidak dapat mencari pengganti disebabkan pintu sempadan ditutup dan bayaran yang naik mendadak.

Justeru katanya, pendekatan menang-menang ini akan membantu kutipan pendapatan kerajaan dan dapat membanteras aktiviti haram atau pemerdagangan pembantu rumah.

“Kita mesti melakukan sebaik mungkin untuk mengekalkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan yang telah sedia rendah selama ini dan jangan pula semakin berkurangan akibat kekurangan sistem sokongan di rumah.

“Setiap hari adalah penting buat keluarga yang bekerja ini untuk mengekalkan pekerjaan mereka dan menyediakan penjagaan untuk ahli keluarga mereka yang tersayang di rumah,” ujarnya lagi.