Malaysia Dateline

Buka semula ekonomi menjelang Oktober penting selamatkan PKS

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akhirnya menerima kenyataan dengan mencadangkan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 65% daripada 60% keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada masa ini bagi menyokong suntikan tunai langsung tambahan untuk menyelamatkan ekonomi negara yang dilanda kemelesetan. Kerajaan baru tidak mempunyai pilihan selain melakukan tindakan tersebut, berikutan kegagalan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin sebelum ini untuk mengatasi kedua-dua pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang telah memusnahkan banyak nyawa dan mata pencarian.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan bersiri (PKP) dilaksanakan dan Proklamasi Darurat gagal mengawal COVID-19, ekonomi telah terjejas teruk akibat “total lockdown” yang tidak berkesan sehingga menyebabkan kerugian ekonomi melebihi RM500 bilion. Amalan dua darjat dalam penguatkuasaan sekatan PKP antara VIP dan rakyat biasa, pusingan-U SOP COVID-19, polisi yang berubah-ubah, pelanggaran pematuhan dan pendanaan langsung yang tidak mencukupi telah menjadikan jangkitan dan kematian COVID-19 serta masalah kewangan kepada rakyat biasa Malaysia menjadi tidak terkawal.

Itulah sebab mengapa 8 pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion tidak berhasil apabila jumlah suntikan fiskal langsung hanya RM83 bilion, saiz yang begitu kecil berbanding kerugian ekonomi RM530 bilion yang ditanggung akibat “total lockdown”. Perlu ada suntikan dana tambahan segera sebanyak RM45 bilion dan pengecualian faedah selama 3 bulan bagi moratorium pinjaman bank, bukan sahaja untuk menyokong perniagaan, pekerja dan mata pencarian, malah perkhidmatan kesihatan dan program vaksinasi negara untuk memerangi COVID-19.

Zafrul telah mengesahkan pernyataan kami sebelum ini bahawa terdapat banyak kecairan dalam pasaran hutang domestik bernilai RM1.3 bilion yang boleh digunakan oleh Kerajaan Persekutuan. Pinjaman tambahan seperti itu hanya akan disokong jika dana tersebut digunakan secara terus untuk membantu pekerja individu dan perniagaan, terutamanya PKS dan sektor pelancongan/perhotelan yang terkesan teruk.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, Wan Junaidi Tuanku Jaafar melaporkan bahawa PKS telah mengalami kerugian sebanyak RM40.7 bilion tahun lalu.

Dia mengatakan bahawa kira-kira 580,000 perniagaan, yang mewakili 49% sektor PKS, berisiko gulung tikar menjelang Oktober jika mereka masih tidak dibenarkan beroperasi ketika itu.

Dengan kata lain, hanya ada satu bulan lagi sebelum kerajaan perlu membuka kembali ekonomi sepenuhnya atau jika tidak, sektor PKS akan lumpuh. Hampir 1 juta PKS yang merangkumi 98.5% daripada semua pertubuhan perniagaan menggaji 7.3 juta rakyat Malaysia pada tahun 2020, yang merupakan 48.0% daripada pekerjaan negara. Adakah pembukaan semula ekonomi sepenuhnya pada bulan Oktober boleh berlaku ketika angka kematian dan jangkitan harian pada 3 September masing-masing tetap tinggi pada 330 dan 19,378 dengan jumlah kumulatif 17,521 kematian dan 1,805,382 jangkitan?

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) turut melaporkan bahawa perniagaan bagi semua sektor di Malaysia lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku ketiga tahun 2021.

Dalam Tinjauan Kecenderungan Perniagaan terbarunya, DoSM menyatakan bahawa petunjuk keyakinan perniagaan telah jatuh ke (-21.3)% pada Q3 2021, berbanding (-3.1)% pada Q2 2021. Ini adalah ramalan yang kedua paling pesimis sejak (-25.1)% pada suku kedua 2020.

Impak besar langsung daripada pengecualian faedah selama 3 bulan bagi moratorium pinjaman bank dan suntikan dana tambahan sebanyak RM45 bilion akan membantu mengatasi kondisi perniagaan yang tidak diingini berikutan pandemik COVID-19 yang teruk dan berpanjangan.

Kerajaan perlu melonggarkan kekangan fiskal serta beralih daripada pemikiran ortodoks ekonomi lama dengan bantuan kewangan secara “one-off” pada sesuatu masa, kepada pembayaran berterusan, berkala, dan berulang bagi mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi sekali seumur hidup ini.