Malaysia Dateline

Buka semula pusat judi: Apa peranan parti Islam dalam kerajaan PN

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyindir peranan Pas sebagai parti Islam di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan kebenaran pengoperasian semula pusat perjudian dan agensi nombor ramalan dalam negara.

“Inilah dia tahap kematangan Pas. Pas merupakan parti yang matang untuk melihat keperluan mengharuskan perjudian dalam negara,” katanya dalam satu klip video di Facebooknya.

Beliau berkata, keputusan Pas berdiam diri juga amat mengejutkan ekoran tiada bantahan dari parti itu selepas memasuki hari kedua pembukaan kedai-kedai nombor ramalan.

“Bagi saya ini adalah sesuatu yang mengejutkan semua masyarakat apabila jemaah menteri yang didokongi oleh para ulama dan diketuai oleh Pas boleh bersetuju (dengan keputusan itu).

“Ini ekoran daripada tindakan mereka yang tak pernah membantah keputusan kedai-kedai perjudian ini untuk beroperasi semula,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa syarikat nombor ramalan mengumumkan membuka semula operasi selepas mendapat kebenaran kerajaan.

Sports Toto Malaysia Sdn Bhd, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) mengumumkan pembukaan semula itu melalui media sosial dan laman web masing-masing.

Di Facebook Magnum, mereka sedang giat melakukan promosi dan mengumumkan jumlah wang tawaran terkumpul mereka kini menghampiri RM16 juta.

“Semua kedai kami dibuka. Jangan terlepas cabutan khas kami yang berlangsung pada 16 Feb! Nilai cabutan Magnum 4D Jackpot kini hampir RM16 juta sekarang” tulis syarikat itu.