Malaysia Dateline

Buka semula skandal banglo, projek terowong bawah laut jika Latheefa berintegriti

Wira Putra Malaysia menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Beebi Koya untuk membuka semula dua kes skandal terbesar yang berlaku di Pulau Pinang bagi membuktikan beliau seorang yang berintegriti.

Ketua Penerangan Penajanya, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, skandal tersebut membabitkan kes sebuah banglo yang melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan skandal projek terowong bawah laut di negeri yang sama.

Katanya, ia perlu dibuka dengan segera bagi membuktikan integriti beliau seiring dengan latar belakangnya sebagai seorang aktivis masyarakat dan peguam, yang mampu menjalankan tugas ‘without fear or favour’.

“Kita berharap beliau mampu untuk bertindak secara progresif, profesional, adil, serta bijaksana dalam kes yang dilaporkan kepada SPRM khususnya laporan bagi kes skandal banglo dan kes skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang yg terdedah sebelum ini.

“Beliau mesti mampu mendesak Peguam Negara (AG) agar setiap kes ditentukan oleh mahkamah. AG tidak boleh tarik balik, batal kes atau tidak membawa pendakwaan atas alasan bukti kukuh tidak mencukupi.

“Salah atau tidak, itu adalah tugas Hakim Mahkamah membuat keputusan kerana apabila seseorang dituduh, biar Mahkamah membersihkan nama yg di tuduh,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua kes ini dilihat tidak diambil tindakan sewajarnya, maka, perlantikan Latheefa tiada bezanya dengan perlantikan politik yang lain sebelum ini yang akhirnya bercakap tak serupa bikin seperti ayam berkokok di tengah malam.

Malah, beliau juga mendesak supaya Latheefa Koya dapat memastikan siasatan perjalanan kes Inkues Muhammad Adib terus berjalan kerana khuatir terdapat aktiviti rasuah semasa perbicaraan kes tersebut berjalan berikutan terdapat saksi yang membuat laporan polis kerana diugut.

Sementara itu, Meor Mohd Hilmi berkata, terdapat kemungkinan, Perdana Menteri menggunakan kuasa vetonya dalam membuat pelantikan Latheefa tanpa berbincang dengan Kabinet setelah beliau mengetahui bahawa beberapa anggota Kabinet tidak mempunyai sijil kelulusan.

“Beliau juga tidak merujuk kepada Majlis PH kerana pada awalnya, beliau sudah menjangka cadangannya akan di bantah.

“Jika PH hilang kepercayan rakyat kerana mungkir janji, padanya itu bukan masalahnya kerana pilihanraya akan datang, tokoh lain yang memimpin PH,” ujarnya lagi.