Malaysia Dateline

“Buka stadium boleh tetapi Parlimen tak boleh bersidang”

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan stadium yang bakal memasukkan ribuan orang dibuka sedangkan Dewan Rakyat yang hanya mempunyai 220 ahli tidak dibenarkan berfungsi ketika perintah darurat berjalan dikecam.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah Datuk Mahfuz Omar melebelkan kerajaan PN sebagai ‘Pembuli Negara’ bukan lagi Perikatan Nasional.

“Parlimen 222-2 = 220 MP tak boleh sidang. Stadium untuk tonton bola boleh pula dengan penonton 2000 – 8000 orang walaupun tanpa vaksin.

“Kegilaan apa di negaraku Malaysia ini. Pembuli Negara = PN,” tulis Mahfuz menerusi Twitter beliau.

Mulai 1 April ini, Majlis Keselamatan Negara membenarkan menganjuran kejohanan sukan di stadium dengan kehadiran penonton.

Negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dibenarkan sehingga 10% atau 2,000 penonton manakala negeri PKP Pemulihan dibenarkan 25% atau 8,000 penonton atau yang mana lebih rendah.

Sebelum ini Yang Dipertuan Agong telah menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika perintah darurat dilaksanakan namun sehingga kini kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini belum memberikan respon rasmi terhadap perintah Tuanku ini.