Buka tabung sumbangan bayar kos guaman, Intan Saleh balas saman Izreen Azminda

Oleh WAN SITI AMINAH

Selebriti media sosial, Intan Saleh kembali mencuri tumpuan ramai setelah membuat keputusan untuk membuka tabung sumbangan.

Difahamkan, sambungan daripada orang ramai itu bakal disalurkan terus kepada peguam yang mewakilinya, Mahmud Jumaat untuk menanggung kos guaman.

Tabung tersebut dibuka selepas Intan Saleh memutuskan untuk memfailkan saman balas terhadap bekas suaminya, Ude Wahid dan isteri iaitu pelakon, Izreen Azminda.

Menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya, Intan meluahkan rasa segan apabila Mahmud Jumaat sanggup menerima bayaran seikhlas hati bagi kos guaman.

Oleh yang demikian, Intan yang mesra disapa Bonda oleh pengikutnya itu membuka ruang kepada orang ramai untuk memberi sumbangan kepada peguam berkenaan.

Hal ini kerana, ramai pihak termasuk pengikutnya yang prihatin dengan kemampuan kewangan ‘Bonda’ meluahkan hasrat untuk membantunya membayar kos guaman.

“Saya bukanlah jenis suka memperbesarkan perkara. Tetapi kali ini terpaksa buat dan Alhamdulillah, ada peguam yang sedia membantu. Pihak peguam telah membalas surat tuntutan tersebut.

“Pada masa yang sama, (peguam) membuat tuntutan balas terhadap mereka atas tuntutan kenyataan fitnah dihamburkan terhadap Bonda. Ramai pihak yang bertanya bagaimana membuat sumbangan bagi membantu Bonda.

“Bonda mencadangkan agar sumbangan orang ramai boleh disalurkan secara terus kepada peguam. Bonda menghargai sumbangan orang ramai. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan Bonda dan keluarga,” katanya.

Pemilik nama sebenar Intan Liana Saleh itu turut merasa kecewa apabila Ude dan Izreen memfailkan saman fitnah sedangkan mereka tahu kemampuan kewangannya.

Wanita berusia 38 tahun itu bagaimanapun sangat bersyukur kerana peguam yang mewakilinya begitu semangat membantu dan rela mengambil bayaran seikhlas hati.

“Mereka yang menyaman tahu setakat mana kemampuan Bonda melantik peguam. Tetapi Alhamdulillah, peguam Bonda sangat bersemangat apabila menerima surat saman ini.

“Katanya sudah lama tunggu saman ini dan bersedia untuk melawan. Selama lima bulan bersama peguam, Bonda tahu bagaimana @mahmud_jumaat menjalankan tugas dan difahamkan kos guaman bukanlah murah.

“Bonda tak nak amik kesempatan atas kebaikan orang lain.” Ulas ibu kepada tiga anak itu yang turut meletakkan pautan atas talian untuk orang ramai menderma melalui hantaran di Instastory.

Terdahulu, Izreen meluahkan rasa hilang sabar dan mendakwa bekas madunya, iaitu Intan berhalusinasi kerana tidak henti memfitnah dirinya dan menganggu suami, Ude.

Sebelum menghantar surat saman, Izreen memuat naik satu hantaran di Instagram menyatakan dirinya bakal mendedahkan perangai sebenar Intan selain mendakwa wanita itu belum melupakan suaminya.

Baca juga: Masih menunggu dilamar biarpun usia cecah 39 tahun, Sherry Alhadad berdoa untuk jodoh setiap kali sebelum tidur