Bukan 31 Ogos 1957 tapi 11 Ogos 1786. Mengapa ia tarikh penting?

Oleh NASUHA RAHMAN

Mengapa bukan 31 Ogos 1957 dan memprihatinkan 11 Ogos 1786 iaitu 236 tahun yang lampau. Bacalah cacatan Awani bersumber Arkib Negara, mengenai sejarah awal Pulau Pinang.

“Hari ini 236 tahun yang lalu, British dengan rasminya menakluk Pulau Pinang. Asalnya dipanggil Pulau Ka-Satu, P. Pinang adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Kedah. Pada kurun ke-18, Kedah berdepan ancaman daripada Siam & Burma, keadaan yang dilihat British sebagai peluang untuk bertapak di Tanah Melayu.

Lantas Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mengarahkan Francis Light menjalin hubungan dengan Kedah. Dijanjikan bantuan ketenteraan & Sultan Muhammad Jiwa menawarkan P.Pinang kepada Light selepas beliau membantu mematahkan pemberontakan Bugis. Sekitar 1770-an, Light menulis kepada pihak atasannya tentang tawaran itu & menjelaskan P.Pinang boleh menjadi pangkalan strategik British di Kepulauan Melayu untuk mengimbangi pengaruh kuasa Belanda & Perancis.

Namun tiada apa yang berlaku hinggalah 1786. Tanpa kelulusan daripada SHTI, Light berunding dengan Sultan Abdullah Mukarram Shah (yang menggantikan Sultan Muhammad Jiwa) untuk memberikan Kedah perlindungan ketenteraan & 6,000 dolar Sepanyol bagi melangsaikan hutang dengan Siam.

Termeterai perjanjian, lalu Light bersama angkatannya mendarat di P.Pinang pada 17 Julai 1786 & bendera Union Jack dinaikkan dalam satu upacara rasmi pada 11 Ogos itu di Padang Kota Lama, menandakan permulaan penjajahan British di Tanah Melayu.

P.Pinang diberi nama baharu – “Prince of Wales Island” – sempena ulang tahun kelahiran pewaris takhta British, George IV pada 12 Ogos & penempatan baharu yang ditubuhkan diberi nama Georgetown sebagai penghormatan kepada Raja George III.

Namun, Light memungkiri janjinya apabila tiada bantuan tiba tatkala Kedah berdepan dengan serangan Siam. Maka pada 1791, Sultan Kedah menghimpunkan bala tenteranya di Seberang Perai untuk mengambil semula P.Pinang. Malangnya, baginda gagal. “Sumber: Arkib Negara Malaysia, Visit Penang

Setelah 65 tahun kita merdeka naratif sejarah Pulau Pinang masih tidak berubah. Setiap tahun kita sekadar merayakan hari merdeka dengan kibaran bendera tetapi kita tidak menghayatinya dengan sebenar-benarnya.

Jika catatan ini bersumber dari Arkib Negara maka ia harus ditulis semula. Menurut Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, naratif ini telah merosakkan sejarah Kedah/Pulau Pinang.

Dalam FB Prof Ahmad Murad menyatakan “orang putih curi tanah Pulau ini pada 14 Ogos Tahun 1786.

Menurut beliau Sejarah Pulau Pinang dan Malaysia mesti dinyahkan daripada naratif, naratif yang mengkhayalkan sejarah yang palsu, gambar dan imej gambar bendera Union Jack berkibar di Pulau Pinang adalah satu penipuan dalam sejarah dunia. Tidak ada pajakan, tidak ada tanda tangan, tiada orang yang menandatangan, tidak ada persetujuan, tidak ada dokumen, tiada penyerahan. Pendudukan Haram. Kes orang putih curi tanah/Pulau.

Menurut Prof Murad dalam FB-nya lagi kenapa kita bodoh ditipu terang dan jelas oleh sejarah yang tidak ada. Kenapa ini dikekalkan dan tidak dinyahkan oleh sejarawan. Penulisan sejarah kita, buku teks, arkib dan muzium? Terlalu bengapkah kita? Mungkin kot. Di hujung kawasan Padang Kota Lama, Tanjung Penaga, sudah ada rumah Melayu. Pulau yang tidak berpenghuni dalam naratif penjajahan!

Kekadang apabila kita difikirkan kita sendiri yang masih dengan naratif Francis Light yang menemukan Pulau Pinang seolah-olah sebelum 11 Ogos 1786 Pulau Pinang tiada berpenghuni.

Sejarah sebelum 11 Ogos menjadi gelap dan Pulau Pinang bermula pada 11 Ogos 1786. Ini yang penjajah lakukan dan kita masih menyanyikan lagu-lagu penjajah.

Fikir-fikirkanlah sejarah kemerdekaan negara juga perlu diperbetulkan mengenai siapakah pejuang dan perintis kepada kemerdekaan yang kita kecapi sekarang?

Bahkan patung Francis Light yang tertegak di depan bangunan Muzium Pulau Pinang didakwa adalah anak beliau, Colonel Wiliam Light dan mereka yang membuatnya merasakan anaknya berwajahkan semacam beliau.

Kalau tidak silap saya masih ingat kenyataan sejarawan Negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, bahawa “orang yang cetek, buta dan tidak peduli sejarah negara akan membuat generasi rosak dan memburukkan keadaan kepada negara”.

Dalam hal ini Kay Kim menekankan kepada sistem pendidikan sejarah yang harus diperhalusi. Sehubungan ini penghayatan sejarah tidak perlu menekankan kepada penghafalan kepada pemahaman yang betul.

Baca juga: Umno ada 191 bahagian, hadir 74 bukan semua pimpinan Umno busuk atau Najib bos mereka