Malaysia Dateline

‘Bukan 85 tapi 5 orang sahaja keluar parti, AMANAH sikit pun tak lemah’

Tindakan sebahagian ahli AMANAH kawasan Kota Raja yang mengumumkan keluar parti sama sekali tidak melemahkan parti komponen Pakatan Harapan itu yang pada ketika ini mentadbir negeri Selangor.

Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim berkata, sejumlah 85 orang yang dikatakan keluar parti juga masih belum dapat disahkan kerana hingga ke saat ini tidak sampai 10 orang ahli yang dilaporkan berbuat demikian.

“AMANAH Selangor masih keliru dengan angka 85 orang ahli yang keluar parti kerana siasatan mendapati tidak sampai 10 orang ahli yang disahkan berbuat demikian.

“Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan yang dibuat pimpinan AMANAH Kota Raja iaitu dalam pengetahuan parti, jumlah ahli yang keluar hanyalah seramai lima orang sahaja dari keseluruhan 2,200 orang ahli.

“Keemua 32 cawangan masih tetap utuh menyokong kepimpinan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, dilaporkan seramai 545 ahli AMANAH dari seluruh cawangan kawasan Kota Raja mengumumkan keluar parti yang diketuai bekas Naib Ketua 3 AMANAH Kawasan, Jaafar Samsudin.

Bagaimanapun, pada 5 September, Jaafar yang juga bekas ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Negeri memohon maaf atas kesilapan angka tersebut dan menyatakan bahawa jumlah ahli yang keluar parti hanya seramai 85 orang.

Sementara itu, Izham menyifatkan tindakan ahli yang keluar menyertai Bersatu dan bekerjasama dengan Umno itu, sebagai tidak bijak kerana membelakangi prinsip perjuangan parti yang menentang kezaliman dan penyeleweangan.

Selaras dengan itu katanya, AMANAH Selangor menyeru agar setiap isu dan perbezaan yang timbul ditangani dengan penuh muhibbah, mengikut disiplin parti serta menjaga prinsip perjuangan dan bukannya dengan cara memberikan kelebihan kepada lawan.

“Amat malang orang lama seperti Jaafar bertindak sedemikian dan sekaligus menggadaikan segala prinsip dan asas perjuangannya selama ini.

“AMANAH Selangor ingin sekali lagi menegaskan komitmen kami yang tidak berbelah bagi dalam memperkasakan PH dan bersama dengan sesiapa saja yang menyokong agenda reformasi dan transformasi negara,” katanya lagi.