Bukan Amanah, Pas sendiri timbulkan soal kerjasama dengan Umno

Bukan Amanah, Pas sendiri timbulkan soal kerjasama dengan Umno

Dakwaan tentang wujudnya kerjasama Pas dengan Umno sebenarnya berpunca daripada pemimpin Pas itu sendiri.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, partinya tidak menuduh Pas berbuat demikian tetapi tidak menolak tanggapan tersebut.

“Kita tak nafikan persepsi itu wujud tapi itu bukan daripada kita. Dia (Nik Abduh) sendiri sebut,” ujarnya ketika ditanya pemberita pada sidang media di Pejabat Amanah Sungai Besar hari ini.

Menurut beliau, Pas sendiri memberi gambaran sedemikian melalui pendirian politiknya yang disifatkan berbolak-balik.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tumpuan Amanah adalah untuk menentang BN bukan Pas.

“Tapi bermula dengan Presiden (Pas) menyebut tentang hilang akidah (keluar dari Pas), kemudian (gelaran) khadam DAP, pengkhianat.

“Tapi anda semua boleh lihat Amanah tidak begitu (berbuat hal yang sama dengan Pas),” jelasnya.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, Amanah kekal pada orientasi menangani banyak isu nasional sebagai parti yang berhasrat untuk menyelamatkan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

COMMENTS

Wordpress (0)