Seorang wanita yang juga pemilik sebuah rumah banglo mewah tiga tingkat nekad menyewakan banglonya kepada para pelajar IPT kerana tidak mahu lagi menetap di kediaman itu.
Menurut perkongsian Hanni Borhan, alasan dia tidak mahu menetap di banglo itu kerana ia terlalu besar, selain ibunya juga sudah meninggal dunia.
Banglo dengan 10 bilik tidur itu katanya akan menempatkan asrama pelajar-pelajar perempuan dari kolej MSU, Shah Alam.
“Banglo ini saya tak mahu duduk lagi. Sebabnya terlalu besar, lagi pon mak saya sudah meninggal dunia. Jadi apa pun kesenangan dan kemewahan atas dunia ini sudah tidak bererti lagi pada saya.
“Yang rosak sudah saya baiki. Insya Allah tak lama lagi akan masuk pelajar kolej. Banglo ini akan jadi asrama untuk pelajar-pelajar perempuan dari MSU, Shah Alam.
“Sebelum ini rumah ini disewa sebagai asrama untuk pelajar international school. Ya lah, asrama anak-anak T20 ini perlukan keselamatan. Nak ada pengawal. nak ada fasiliti yang sama macam rumah mereka. baru lah terasa seperti rumah,” katanya di Facebook.
Untuk bayaran sewa, Hanni berkata ia tidak akan sama dengan harga bilik sewa di atas lot kedai.
Bagi sebuah bilik besar dengan empat katil, sewa dikenakan adalah RM550 untuk seorang penyewa termasuk bil utiliti.
Dia juga sedang melengkapkan perabot dalam rumah untuk kegunaan para pelajar.
“Sewanya, mesti lah tak sama macam harga bilik yang atas kedai tu, atau sewa bilik rumah flat atau sewa bilik rumah kondo.
“Minggu depan, proses kemasukan perabot-perabot baru dan kelengkapan rumah,” ujarnya.
Sementara itu di ruangan komen, pemilik banglo tersebut berkata akan ada pekerja pembersihan yang datang untuk menjaga kebersihan banglo tersebut.
“Luar bilik, ruang tamu, kolam renang, tempat parkir, dan siram pokok bunga. Penyelenggaraan ini kami sediakan. Dalam bilik tidur depa, bilik air dalam bilik tu tanggungjawab penyewa,” katanya lagi.
Baca juga: Baru tahu ada cara masak nasi bebas ‘kerak’, sesuai dipraktikkan oleh orang bujang!