Bukan Cai tapi dinamika kepartian

Bukan Cai tapi dinamika kepartian

Dalam memahami kepartian, kita jangan sesekali mengabaikan aspek dinamika kekelompokan dalam parti. Ia suatu perkara yang tak dapat dielakkan kerana beberapa faktor iaitu:

1. Definisi halatuju parti berbeza-beza intepretasinya walaupun asas perjuangan parti kekal menjadi faktor penyatuan.

2. Latar belakang ahli dan kepimpinan yang rencam menyebabkan persepsi dan logik sesebuah organisasi parti hendak beroperasi menerima berbagai pandangan.

3. Dorongan perlumbaan atau persaingan sama ada mahu berkhidmat memperkukuhkan ideologi parti mahu pun mengejar ganjaran posisi luar parti melalui kedudukannya dalam parti tidak boleh kita nafikan.

4. Ketokohan seseorang dalam parti sama ada dilihat sebagai berwawasan mahu pun rapat dengan kepimpinan lebih tertinggi atau pun banyak menyumbang secara material kepada parti akan menjadi sumber sokongan yang melahirkan dinamika kekelompokan dalam parti.
Keempat-empat faktor di atas adalah realiti dinamika kekelompakan atau kumpulan dalam parti politik. Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai sebuah parti tidak terkecuali dan terpaksa menghadapi realiti dalaman organisasi untuk terus kekal relevan dalam dunia politik kepartian di Malaysia.

Ramai dari kalangan pimpinan tertinggi berbincang tentang trend dalam AMANAH bahawa ‘cai’ di kalangan Pemuda AMANAH membimbangkan. Saya memahami betapa istilah ‘cai’ memang menjadi fobia kepada beberapa pimpinan tertinggi AMANAH kerana kami adalah mangsa ‘cai’ ketika pemilihan parti PAS tahun 2014. ‘Cai’ berleluasa dalam usaha meletakkan senarai kelompok ‘ulama’ untuk menyingkirkan kelompok ‘anwarinas, profesional’ sehingga parti akhirnya berpecah dan lahirnya AMANAH.

Kebimbangan ini bukan khayalan tetapi ia pengalaman sendiri dan menjadi ‘mimpi ngeri’ kami.

Bagaimanapun saya tidaklah terlalu melampau untuk menilai keadaan dalam konteks apa yang berlaku dalam AMANAH kini sehingga membuat rumusan kononnya kewujudan ‘cai’ ini sama dengan pengalaman ‘cai ulama’ dalam PAS sebelum ini. Saya ada penilaian yang lebih objektif berpandukan kepada disiplin dinamika kekelompokan dalam organisasi politik.

Penilaian saya bermula dengan soalan apakah yang didakwa dalam proses pemilihan Pemuda AMANAH itu boleh kita katakan wujudnya ‘cai?’ Soalan kedua ialah apakah pilihan pendekatan parti yang ada dalam menguruskan dinamika kekelompokan dalam parti? Dan soalan terakhir saya ialah apakah AMANAH bersedia untuk menjadi model terbaik menguruskan dinamika organisasi parti?
Saya akan cuba menghuraikan 3 persoalan untuk memberi keadilan kepada kebimbangan fenomena ‘cai’ yang dikatakan mula muncul dalam AMANAH.

Pertama, apakah ‘cai’ wujud dalam AMANAH? Saya tidak mentakrifkan apa yang berlaku dalam proses pemilihan parti sama ada Pemuda, Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) mahu pun kawasan-kawasan sebagai ‘cai’. Saya berpandangan tiada ‘cai’, tetapi yang ada ialah pandangan-pandangan yang diketengahkan dalam rangka memperkukuhkan parti dengan logik masing-masing. Aktiviti berkempen untuk memajukan parti kepada kumpulan sasaran dengan kesegaran ide-ide baru adalah sangat diperlukan. Ide-ide ini dilontarkan untuk dinilai dan dibincang agar satu rangka ‘way-forward’ dapat membina parti. Bersaing dengan ide dan ‘bergelut’ untuk meyakini sasaran adalah fenomena yang sihat untuk parti baru seperti AMANAH, jangan dimatikan persaingan sihat ini.

Berbeza dengan fenomena ‘cai’ pada 2014, asas persaingan bukan kesegaran ide tetapi ‘fitnah’, ‘serangan peribadi’, ‘labeling’ dan ‘ugutan’ serta ‘ancaman’ sehingga pilihan dibuat bukan atas ide mana yang lebih segar tetapi kerana ‘takut’ dikatakan tidak wala’ kepada parti dan pimpinan.

Dalam AMANAH khususnya Pemuda , saya melihat ia adalah tentang ide-ide yang cuba bersaing antara satu sama lain dalam realiti dinamika kekelompokan. Syabas Pemuda kerana menyegarkan wacana kepelbagaian ide untuk masa depan parti. Pada waktu yang sama saya mahu memberi ingatan dalam keghairahan itu jangan sesekali membuka ruang kepada ‘budaya cai’ menyelinap masuk!
Yang kedua, apakah pilihan yang ada pada pimpinan parti mendepani realiti kekelompokan? Kita ada pilihan sebenarnya dan pilihan kita akan menentukan masa depan parti khususnya pelapis dari sayap-sayap parti. Apakah kita mampu membuat keputusan yang tepat? Mari kita melihat pilihan yang ada.

a. Menolak dinamika kekelompokan dengan alasan ianya fenomena ‘cai’
b Menerima seadanya keadaan dan serah pada realiti
c. Menerima realiti dinamika kelompok dalam parti dan cuba menguruskannya dengan cara objektif dan terarah.

Jika saya, saya akan memilih c kerana ia akan menuntut kepimpinan parti mengendalikan dinamika ini sebagai instrumen memberdayakan persaingan secara sihat yang akhirnya akan menguntungkan parti.

Saya mencadangkan beberapa perkara dalam menyambut dinamika ini.

1. Menggalakkan setiap kumpulan menerangkan apakah ide-idenya untuk membawa parti ke hadapan melalui penulisan, wacana, program dan perdebatan yang sihat.
2. Parti perlu meletakkan panduan umum supaya dinamika ini tidak membawa kepada serangan peribadi, fitnah mahu pun mencetuskan permusuhan dan stigma tertentu yang merosakkan. Persaingan meruntuhkan ini termasuk program yang bole ditakrif sebagai ‘rasuah’ parti untuk mendapat sokongan melalui sogokan dan sebagainya.
3. Parti boleh meletakkan syarat bahawa mana-mana ahli yang hendak dicalonkan perlu terlebih dahulu mengikuti modul pengkaderan tertentu bagi melayakkannya mengundi dan diundi. Dengan itu, parti lebih meyakini bahawa seseorang calon itu akan menghayati teras perjuangan parti walaupun mempunyai pandangan berbeza tentang bagaimana parti harus disusun. Ia mekanisma kawalan kepada persaingan sihat.

Adapun persoalan ketiga, bersediakah AMANAH menjadi model bagi parti yang mampu bertahan dengan realiti dinamika ini? Soalan ini adalah menjangkau batasan insiden-insiden kepartian. Ia berkenaan ‘big picture’ sejauh mana stamina AMANAH untuk kekal relevan menampung arus perubahan negara yang pantas.

Untuk itu, kekuatan ideologi progresif AMANAH bersendikan Rahmatan Lil Alamin dan pendekatan Maqasid mesti dirakyatkan. AMANAH perlu komited kepada model Malaysia yang unik bagi mendepani realiti kepelbagaian budaya dan agama diikat dengan tindakan melicinkan kemunculan Malaysia Baru. Itu adalah kekuatan AMANAH yang memungkinkan ia muncul sebagai parti yang berwibawa pada masa hadapan.

Seterusnya, solidariti keahlian dan pendekatan efektif mendepani dinamika dalaman parti menjamin tidak berlaku persaingan destruktif dan perpecahan dalaman yang kronik.

Sebagai parti yang berkuasa, AMANAH perlu menguruskan ahli yang ada kepentingan sendiri atau agenda peribadi yang menjadikan parti sebagai loncatan untuk habuan posisi politik dalam kerajaan. Isu ini bole digarap melalui sistem pengkaderan yang lebih tersusun dan penetapan jangka masa tertentu sebelum seseorang boleh dicalonkan kepada perlantikan politik. Selain itu, keterampilan peribadi yang bersih yang ditonjolkan parti boleh menyerlahkan potensi AMANAH kepada rakyat.

Saya yakin kebimbangan pihak atasan parti ada asasnya demi melihat survival AMANAH dalam lanskap politik baru Malaysia. Namun, sekalipun ia satu kewajaran, kepimpinan harus mendepani realiti parti yang semakin berkembang pesat.

Kita tidak mahu perkembangan parti terbantut hanya kerana kebimbangan kita kepada dinamika kumpulan sebagaimana kita tidak mahu parti berkembang tanpa ditampung dengan infra parti yang kukuh samada secara ‘hardware’ mahupun secara ‘software’ parti. Mencari keseimbangan antara dua keperluan ini menuntut kepimpinan yang bijak berhikmah dan tegas tentang prinsip-prinsip asas parti.

*Penulis adalah Naib Presiden AMANAH.