Bukan calang-calang orang, ini latar belakang Menteri Kewangan II yang baru

Oleh MAISARAH AISYA

Usai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mengenai rombakan kabinet, ada satu nama yang menarik perhatian ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pagi ini.

Timbul ura-ura menyatakan bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet sebelum ini.

Perkara itu kemudian disahkan Anwar pada sidang media di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Ini adalah latar belakang Menteri Kewangan II yang tidak diketahui ramai.

Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai CEO baharu TNB | Astro Awani

Dilahirkan pada tahun 1967 di Pulau Pinang, beliau merupakan anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Tun Azizan Zainul Abidin.

Amir Hamzah memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan dengan pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi dari Universiti Syracuse, New York.

Beliau juga adalah eksekutif perniagaan Malaysia dan menjadi Pengerusi UEM Edgenta sejak 29 Ogos 2016.

Kini beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bermula 1 Mac 2021.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif KWSP, beliau juga pernah mengetuai Tenaga Nasional Berhad sejak tahun 2019.

Pengalamannya dalam dunia korporat mencakupi lebih 27 tahun.

Ini termasuk peranan kepemimpinan dalam syarikat seperti Kumpulan Syarikat Shell, MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd, dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Baca juga: Hadiah rumah menanti pengunjung, program Setahun Bersama Kerajaan Madani berlangsung hingga esok